Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Tukar Sekolah

Salam buat semua... Hampir dua bulan tak berblog, kalau nak kena beri alasan...memang macam-macam, dari kesibukan year-end closing sampai la kes keracunan makanan, semuanya buatkan aku menyepikan blog ni dari sebarang cerita baru. Apapun, cerita yang terpilih sebagai entry pertama tahun 2011 ni ialah cerita Muaz & Anas tukar sekolah.

Aku & Fiza sebenarnya memang dah agak lama kurang berpuas hati dengan pengurusan sekolah lama tu, bermula dengan pertukaran cikgu yang terlalu kerap kemudian pelaksanaan proses pengajaran yang kami rasakan kurang teratur. Mungkin tanggapan kami salah, tapi atas faktor tu, aku & Fiza mula berfikir-fikir untuk tukarkan Muaz & Anas ke sekolah baru, disamping dapat keluarkan mereka dari 'masalah' sekolah lama, dapat juga diorang rasa environment yang berbeza.

Walaupun keputusan masih belum muktamad, proses mengenalpasti sekolah baru bermula dalam bulan September 2010. Fokus kami ialah tadika Islam yang ada modul khusus untuk bacaan Bahasa Inggeris sebab pada penilaian kami, sekolah lama memang kurang beri penekanan aspek ni.

Selepas buat penilaian terhadap beberapa buah tadika, pada penghujung Disember 2010, alhamdulillah, kami berjaya memuktamadkan keputusan untuk memilih Tadika Umiku Sayang sebagai sekolah baru Muaz dan Anas. Pada peringkat awal Muaz agak sedih sebab terpaksa tinggalkan kawan-kawan di sekolah lama, tapi akhirnya dia faham hasrat ayah dan ibu.

3 Januari 2011, mereka mulakan sesi persekolahan di tadika baru. Alhamdulillah, diorang nampak seronok jumpa dengan kawan-kawan dan cikgu baru. Hari ke hari, nampaknya mereka dah dapat sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Harapnya persekitaran baru tu memberikan kesan positif terhadap pencapaian rohani dan akademik mereka. Ayah dan ibu iringi dengan doa semoga kalian membesar sebagai anak yang soleh.

Monday, November 15, 2010

Tahniah Muaz & Anas



Sabtu lepas, berlangsungnya  Hari Penyampaian Hadiah & Konsert Akhir Tahun Tadika Al-Aqil di Auditorium JOTIC Johor Bahru. Tahniah buat buah hati ayah Muaz dan Anas atas pencapaian yang membanggakan ayah dan ibu. Makin berkobar-kobar semangat kami untuk teruskan agenda pendidikan awal untuk anak-anak. Mungkin apa yang ayah dan ibu mampu beri bukanlah yang terbaik, tapi itulah usaha terbaik kami untuk masa depan kalian, hanya pada Allah SWT jua tempat kami mohon petunjuk dan pertolongan.



Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin oleh pelajar-pelajar KG2 (6 tahun). Subhanallah, kemampuan kanak-kanak memang mengagumkan. Dalam tempoh yang singkat, mereka mampu untuk menghafal Surah Yaasin. Syahdu hati mendengar gema suara-suara 'halus' mengalunkan ayat suci.



Muaz dan Anas turut terlibat dalam persembahan. Setelah hampir sebulan berlatih, Muaz dan Anas berjaya dalam persembahan pentas mereka yang pertama. Kedua-duanya tak nampak nervous pun, ibu dengan ayah yang 'kecut perut' sebab Muaz diberi peranan yang agak berat juga iaitu memimpin nyanyian nasyid Anak Soleh untuk KG1 dan secara ad hoc disuruh memimpin nyanyian lagu Andaiku Tahu (Ungu) bagi tahap KG2. Anas pulak diserap dalam group KG1 sebab 'terlebih semangat' nak perform. Alhamdulillah, persembahan anak-anak kecil memang sentiasa menghiburkan. Apapun semoga penampilan umum sebegini memupuk keyakinan diri mereka dan tak mewarisi ke'gabraan' ayah mereka.





Harapan kami semoga mereka membesar dalam suasana pendidikan yang sempurna. Matlamat kami agar apa yang mereka perolehi hari ini menjadikan mereka insan cemerlang dunia dan akhirat. Semoga mereka semua membesar sebagai generasi yang soleh dan cemerlang di sisi Allah SWT.

Tuesday, November 9, 2010

Komitmen dan Fokus




Aku bukanlah seorang ayah yang berpengalaman dan berjaya dalam misi membesarkan dan mendidik anak, malah aku sendiri masih menimba dan mencari-cari sistem, kaedah, petua atau apa saja yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik. Tapi status 'tak berpengalaman' tu bukan lah alasan untuk aku gagal memberi yang terbaik kepada anak-anak. Pokok pangkalnya ialah komitmen dan fokus.

Selalu aku tanya diri sendiri:
  • dari 24 jam sehari yang Allah SWT kurniakan pada aku, berapa jam yang aku peruntukkan untuk anak-anak?
  • dari sejumlah RM rezeki yang aku terima setiap bulan, berapa banyak aku peruntukkan untuk pendidikan dan kebajikan anak-anak?

.....dan yang paling penting,
  • dari lebih 100 billion neuron dalam otak aku, berapa peratus yang digunakan untuk fikir tentang insan-insan kecil yang telah Allah SWT amanahkan pada aku?

Aku ingatkan diri sendiri, mendidik anak bukan tugas sampingan, malah itulah tugas dan fokus utama aku sebagai seorang insan yang dah berkeluarga. Memang kita punya banyak komitmen dalam hidup, tapi walau apa pun keadaannya, aku perlu secara aktif mencari jalan supaya fokus utama ni tak terabai.

Setiap anak punya potensi untuk berjaya dengan cemerlang dan perlu diberi ruang dan peluang untuk mengasah dan menggilap potensi dirinya. Tidak wajar dan zalim jika seseorang anak dilabel secara negatif. Setiap anak berhak mendapatkan proses pendidikan yang positif pada awal usianya yang bakal membentuk sahsiah diri dan keteguhan peribadi. Pendidikan agama, merupakan tunjang segala pelajaran yang harus diberikan sebagai landasan kepada proses pendidikan yang lain. Justeru, komitmen dan fokus ke arah memberi pendidikan yang berkesan kepada anak seawal mungkin adalah satu tanggungjawab.

Ibubapa adalah guru yang utama bagi anak. Segala tindak tanduk, pertuturan, gaya bahasa dan sikap yang dipamerkan oleh ibubapa mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk ditiru oleh anak-anak. Dalam keadaan anak masih lagi tercari-cari contoh, tindakbalas, perkataan dan sikap untuk dihadam, apa yang terlintas di depan mata dan terdengar di telinga diserap dengan cepat dalam registry anak-anak. Justeru, komitmen dan fokus dalam mempamerkan tauladan yang baik kepada anak-anak adalah satu tanggungjawab.

Berdoalah semoga Allah SWT mendidik kita untuk mendidik dan membimbing kita untuk membimbing.

Sunday, September 19, 2010

Airmata Nur Salina


Alhamdulillah...cuti raya 11 hari berjaya dimanfaatkan dengan sempurna. Selesai semua misi dan visi, tercapat semua matlamat dan hasrat....alhamdulillah. Esok, everything is back to normal, harap-harapnye tak la aku terbawa-bawa kesantaian cuti nanti...

Malam semalam, sekitar pukul 10, sedang aku termenung-menung melayan kelopak mata yang makin memberat, tertengok pulak satu telemovie yang sangat menyentuh hati. Cerita arahan Erma Fatima yang dibintangi Remy Ishak dan Datin Paduka Umi Aida betul-betul berkesan. Tahniah aku ucapkan. Gaya lakonan yang mantap, jalan cerita yang realistik dan skrip yang teliti menjadikan setiap perjalanan cerita tu aku ikuti dengan penuh perhatian, hilang rasa mengantuk...

Sebenarnya aku sangat terkesan dengan mesej yang dibawa dalam cerita tu. Kisah seorang remaja perempuan yang 'mabuk cinta' sampai sanggup membelakangkan agama dan keluarga. Mungkin ada yang fikir ia kisah biasa yang ditonjolkan kebanyakan drama dan filem, tapi bagi aku Airmata Nur Salina punya kelainan dalam setiap babak yang dipertontonkan. Ia memberikan justifikasi yang sebenar, bagaimana cinta yang diperjuangkan tanpa berlandaskan agama dan restu ibubapa bisa meletakkan seorang wanita dalam penyesalan sepanjang hayat.




Cinta Salina yang 'luhur dan murni' terhadap Afka yang dihalang ibubapanya ekoran 'ketelanjuran'nya membuatkan dia merasakan telah dinafikan hak untuk beroleh kebahagiaan hidup. Akal singkatnya membawa Salina mengejar 'kebahagiaan' impiannya. Atas dasar cinta yang menggunung, Salina hilang rasionalnya dan membutakan mata terhadap kekurangan lelaki pilihannya yang nyata lemah rohani dan miskin jati diri. Kepercayaan dan cintanya jugalah yang mengheret Salina hingga ke tali gantung.



Sebagai lelaki, aku akui watak Afka lakonan Remy Ishak merupakan cerminan kepada rapuhnya cinta dan dangkalnya otak lelaki tanpa suluhan cahaya iman. Dia boleh jadi seorang suami dan bapa yang pengasih dan penyayang dan dia juga boleh jadi makhluk perosak yang menjahanamkan keluarga. Pokok pangkalnya ialah kesedaran tentang tanggungjawab rohani dan jasmani kepada keluarga.



Afka punya keazaman untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik atau lebih tepat untuk menjadi seorang hambaNya yang baik, namun pasti, ia bukanlah semudah menekan suis on/off. Mujahadah melawan hasutan syaitan dan nafsu berlangsung setiap saat. Setiap orang menghadapi cabaran yang berbeza, bergantung pada kekuatan pegangan pada agama, bi'ah (persekitaran) dan sejauh mana seseorang itu bersedia untuk diuji. Bagi Afka, Leman merupakan ujian yang melumpuhkan sistem pertahanannya. Afka terjebak dalam kancah judi yang menjadi punca kehancuran kerjaya dan keluarganya. Malah, Salina turut menjadi taruhan kegilaannya terhadap judi.



Kenapa agaknya aku sangat menghargai karya seni ni. Mungkin kerana aku acapkali mendapat tahu dan diberitahu tentang ketaksuban terhadap cinta sesama makhluk hingga gagal berpegang pada rasional dan petunjuk Ilahi. Nasihat, pandangan, pendapat dan teguran orang berilmu dan orang-orang tua yang dah banyak 'makan garam' dikuis ketepi dan dianggap kolot dan kurang memahami. Mereka hanya melihat yang indah-indah dalam gerbang perkahwinan dengan pasangan idaman, namun gagal memahami bahawa hakikat perkahwinan penuh kebertanggungjawaban. Mereka lupa untuk buat penilaian adakah pasangan idaman mampu menggalas tugas-tugas yang diharapkan.

Buat yang belum, masih punya masa untuk buat keputusan. Buat yang dah terlajak, pasti ada laluan untuk kembali ke pengkalan. Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang membawa kebahagiaan yang berkekalan.

Thursday, September 2, 2010

Tinggal 7 Hari...





Tinggal 7 hari lagi puasa, Ramadhan yang cemerlang untuk Muaz & Anas. Setakat ni Muaz dah berjaya puasa penuh sebanyak 15 hari & Anas 14 hari...tahniah untuk  buah hati ayah. Fiza pulak terpaksa melalui Ramadhan ni dengan 'mabuk & loya', berat badan pun dah susut beberapa kilo sebab tak lalu makan masa buka & sahur. Kesian, nampak lemah sangat dia menahan mabuk... So untuk memudahkan Fiza, aku biarkan dia decide menu untuk buka & sahur, supaya kena dengan selera dia, sekurang-kurangnya berisi juga perut dia. Hmm...Itulah sebahagian dari pengorbanan seorang ibu...

7 hari lagi, bulan "Rahmah & Maghfirah" ni bakal meninggalkan kita, memberi kita 354 hari lagi untuk ketibaannya semula, entahkan dapat entahkan tidak. Mengukur diri sendiri, masih banyak yang sepatutnya aku lakukan untuk menghampirkan diri pada fitrah, masih kurang usaha untuk meningkatkan taqwa, masih kurang bersyukur pada hikmah Ramadhan yang Allah SWT kurniakan. Betul kata Ust. Arif Jasiman, kadang-kadang kita seolah-olah sombong dengan Tuhan, 30 hari diberi peluang untuk mengejar pahala yang berganda-ganda, untuk menghapus dosa dibawah maghfirahNya, tapi kita buat 'dek....aje'. Dah dikhabarkan wujudnya 1 malam yang lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun 4 bulan), tapi kita tak usaha untuk mendapatkannya... Sama-samalah kita usaha, sekurang-kurangnya kita mampu menjadi Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari jurang Neraka-Nya dan memilih kita untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan.



Thursday, August 12, 2010

Salam Ramadhan 1431



Alhamdulillah...masih diberi kesempatan menempuh Ramadhan, masih diberi peluang menambah pahala, masih diberi ruang mencuci onar dosa. Kesempatan yang amat besar maknanya, yang mampu menarik insan keluar dari jurang neraka...

Agak lama juga aku meninggalkan blog nie sepi dari sebarang entri baru, bukan blog nie aje malah FB pun lama tak berjenguk...setelah tiga bulan memegang amanah, akhirnya berjaya juga aku selesaikan misi penanggungan kerja yang amat mencabar itu...alhamdulillah...pengalaman yang sangat baik untuk mematang diri dalam membuat keputusan...

Bermulalah pesta ibadah di masjid-masjid. Alhamdulillah, nampak kehadiran untuk solat tarawih amat membanggakan. Seronok pulak rasanya...harapnya bilangan tak berkurang banyak sangat menjelang akhir Ramadhan nanti...

Bila tengok ramainya manusia kat masjid ni, teringat masa  bulan puasa di universiti dulu...memang seronok kalau berbuka di masjid. Lebih kurang pukul 6.30 petang, biasanya ramai yang dah menunggu kehadiran van yang bawak makanan...entah siapa yang sedekah...wallahu a'lam. Yang pasti aku & kawan-kawan biasanya dapat tapau dua bekas polystyrene, satu untuk buka & satu untuk sahur...jimat...jimat.. Biasalah budak lelaki memang selalu berkira sikit bab makan ni...duit banyak habis untuk upgrade komputer & beli prepaid...heheheh...



Tarawih berjemaah kat masjid UIA memang best. Semua imam adalah dari golongan huffaz dan punya alunan bacaan yang sangat menyentuh hati walaupun buat yang tak faham bahasa arab (aku la tu...). Satu malam satu juzuk, tapi tak terasa lamanya...telinga akan sentiasa tertarik untuk mengikuti bacaan imam...boleh menitis air mata dibuatnya....


Sepanjang hidup di UIA aku dapat tengok sendiri macam mana kepelbagaian mazhab disatukan dalam satu program ibadah. Semua bebas mendengar hujah daripada mazhab-mazhab yang berbeza dan setiap orang bebas untuk buat penilaian berdasarkan dalil dan nas yang dirujuk... Tapi sebagai orang yang kurang arif berkenaan usul fiqh, biasanya aku lebih cenderung untuk tetap dengan apa yang aku belajar masa di sekolah agama dulu...

Itulah yang dinamakan kenangan...dan kenangan itulah yang dah banyak mendidik diri untuk menjadi manusia yang lebih bersyukur. Semoga jiwa ini terus terdidik dan menerima tarbiyyah untuk mampu berdiri dengan sejahtera di hadapan Pencipta nanti....Amin.

Monday, May 3, 2010

Lebih Zalim Dari Firáun



Kes-kes pembunuhan dan pembuangan bayi kembali mendapat perhatian media, secara tak langsung mengingatkan kita bahawa isu pembuangan bayi masih belum selesai dan tak pernah berhenti berlaku. Memang amat menyedihkan melihat keadaan bayi-bayi yang masih suci tak berdosa dibunuh dengan kejam lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang mengaku Muslim. Entah mana letaknya iman pada masa pembunuhan dan pembuangan dilakukan sehingga tergamak untuk bertindak sekejam itu.

Cuba kita hayati kisah Firáun ketika dia mendapat tafsiran mimpi oleh ahli nujum bahawa kuasa pemerintahan negara Mesir akan jatuh ke tangan seorang pemuda Bani Israel, maka diarahkan seluruh kekuatan tentera bagi mengeledah rumah di seluruh pelosok Mesir untuk mencari dan membunuh semua bayi lelaki Bani Israel. Itulah antara episod kekejaman Firáun yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam kalamNya Yang Agung. Pada ketika itulah, seorang ibu dengan linangan air mata dan tawakkal yang tinggi, menghanyutkan bayi lelakinya mengikut arus Sungai Nil demi menyelamatkan nyawanya dari direnggut kerakusan tentera Firáun. Dengan takdir Allah SWT mengatasi segalanya, bayi yang dihanyutkan bukan sahaja selamat malah telah berjaya untuk membesar dalam istana Firáun sendiri. Namun apabila kehadiran bayi lelaki itu disedari oleh Firáun, ternyata kekejaman Firáun tidak berjaya mengatasi rasa kasih dan sayangnya pada seorang kanak-kanak yang telah membesar dalam istananya, walaupun itu bukan anaknya sendiri. Apa yang dilakukan oleh Firáun demi menunjukkan ketegasannya hanyalah menempatkan kanak-kanak itu (Nabi Musa) di sebuah rumah yang dibina di sebelah istananya. Begitulah tewasnya sifat angkuh seorang raja pada sifat kasihnya.

Cerminlah dengan biasan iman, akal dan budi, adakah masyarakat kita sudah menjadi lebih zalim dari Firáun. Renungkan dengan mata hati, adakah kita menuju hidup yang lebih bertamadun atau sebaliknya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia tidak akan terhenti di sini. Kita bakal menghadapi Hari Pembalasan atas tiap perkara yang kita lakukan. Bertemulah semula si anak dengan si ibu demi menuntut keadilan buat dirinya di hadapan Allah Maha Adil. Semoga kita terhindar dari bencana yang sebenar itu.


Friday, February 19, 2010

Jangan Menghina Hukum Allah...



Memang amat keterlaluan kenyataan akhbar Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) Hamidah Marican terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam yang disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram. Saya melihat tindakannya membantah pelaksanaan hukuman itu dengan alasan bahawa "ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan" dan "tidak efektif" sangat melampau dan merupakan satu penghinaan terhadap undang-undang Islam. Selain dari beliau, Presiden Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Sofia Lim Siu Ching dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan turut 'tumpang semangkuk' mengkritik hukuman tersebut. Entah mana perginya manusia-manusia yang sanggup bertegang urat mempertahankan perarakan Maulidul Rasul, tak berbunyi pulak bila hukum Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dihina oleh makhluk-makhluk yang jahil.

Dalam surah An-Nur ayat 2 Alllah SWT berfirman;

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Cukuplah ayat ini menjelaskan betapa hukuman rotan ke atas penzina itu merupakan ketetapan Allah SWT yang qat'íe. Sebagai manusia yang seluruh jasad, roh, pemikiran, intelek dan ilmunya dipinjam dari Tuhannya, layakkkah kita berkata bahawa hukum ketetapan Allah itu sesuatu yang kuno, zalim dan tidak efisyen? Tersesatlah kalau kita fikir kita berkelayakan.

Penghinaan seumpama ini lebih-lebih lagi oleh seorang manusia yang mengaku Islam sangat keterlaluan. Barangkali kalau Saiyidina Umar r.a. masih hidup, telah terpisah kepala manusia itu dari jasadnya. Insaflah dan bersederhanalah dalam memberi pandangan. Ingatlah, dunia ini hanya tempat tumpangan buat sementara, akhiratlah tempat yang kekal selama-lamanya. Kesakitan di dunia ini amatlah sedikit berbanding seksaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita semua terhindar darinya.

Wednesday, February 3, 2010

Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain?

Alhamdulillah, aku baru khatam buku pemberian isteri tercinta, Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz ni, setinggi-tinggi tahniah diucapkan buat beliau atas usaha dan komitmen yang tinggi untuk mengupas sejarah demi membahaskan kekeliruan tentang siapa sebenarnya Zulqarnain, pahlawan yang dimuliakan Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi.

Dalam Surah Al-Kahfi ayat 83 hingga 99 Allah SWT berfirman;

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. (83) Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (84) Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). (85) Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka. (86) Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (87) Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati. (88) Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain. (89) Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. (90) Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. (91) kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain. (92) Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. (93) Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka? (94) Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (95) Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya. (96) Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (97) (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar. (98) Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar. (99)" Maha Benarlah Kata-Kata Allah Yang Maha Besar.

Perbahasan utama buku ini adalah berkisar pada menafikan sandaran Zulqarnain diberikan kepada Alexander The Great, putera kepada Raja Macedonia, Philip II. Dalam masa yang sama juga, berdasarkan fakta daripada tokoh-tokoh sejarah serta kajian terhadap pelbagai buku-buku termasuk rujukan lain-lain agama samawi, penulis cuba mengenengahkan putera Raja Parsi bernama Raja Kurush (Cyrus The Great) sebagai individu yang lebih layak dan logik untuk dikaitkan dengan Zulqarnain. Dokumentari berkenaan kajian yang telah dijalankan juga pernah disiarkan di Astro Oasis.

Apa menarik ialah kaedah penceritaan dan perbahasan yang dimulakan dengan pengenalan terhadap penyebaran bangsa-bangsa tertua dalam sejarah manusia yang melibatkan rantaian dan hubungan antara Nabi-Nabi dari zaman Nabi Adam a.s. hinggalah kepada zaman Nabi Uzair a.s. yang hidup dalam era pemerintahan Raja Kurush. Digambarkan sebagai seorang raja yang disayangi dan berakhlak mulia walaupun terhadap musuh, Raja Kurush yang hidup antara 576 hingga 530 sebelum masihi adalah berbeza dengan watak penakluk yang rakus Alexander The Great. Raja Kurush juga dikatakan menganut agama samawi tua iaitu agama Zarathustra yang diambil sempena nama Nabi Zarathustra. Penulis juga secara teliti berhujah tentang 4 ciri-ciri Zulqarnain yang disebut dalam Al-Quran iaitu perjalanannya ke arah barat, menerima wahyu dari Allah SWT, perjalanan ke arah timur dan membina tembok menghalang Yakjuj dan Makjuj.

Merujuk kaum Scythian di Selatan Rusia sebagai bangsa Yakjuj dan Makjuj dan orang Georgia dan Armenia sebagai golongan yang meminta pertolongan, penulis juga berhujah tentang kedudukan sebenar tembok pemisah yang dibina Zulqarnain yang dikatakan terletak di Banjaran Kaukasus, ditengah-tengah daratan antara Laut Hitam dan Laut Kaspia.




Mengetahui sesuatu yang baru adalah menarik. Menginsafi sesuatu kesilapan adalah rahmat. Berdasarkan fakta dan hujah yang dikemukakan, penulis mempunyai asas yang kuat untuk mempercayai dan mempertahankan kenyataannya. Sememangnya penulisan sejarah tidak akan terhenti kerana bukti dan penemuan baru bakal merungkai peristiwa sebenar.

Saturday, December 12, 2009

Tahniah Buat Buah Hati Ayah!!!



9 Disember 2009, hari terbuka untuk Tadika Al-Aqil, tempat Muaz dan Anas mengisi masa semasa aku & Fiza ke pejabat. Genap setahun Muaz melalui sesi pembelajaran formal, nampak banyak kesan positif yang dia perolehi dari segi pengetahuan, kemahiran & pembentukan sahsiah diri.


Masih segar lagi dalam ingatan aku masa aku & Fiza berbincang untuk buat keputusan untuk hantar Muaz ke tadika, tak pasti sama ada dia dah bersedia nak melalui pembelajaran ala-sekolah yang mungkin agak memberatkan dengan sesi kelas dan kerja rumah. Banyak juga maklumat dari blog & buku, serta pendapat & pengalaman kawan-kawan yang aku timba untuk buat keputusan. Dalam setahun nie, aku dapat lihat banyak perkembangan dalam diri Muaz. Alhamdulillah, tahun 2009 Muaz lalui dengan pengisian yang banyak melengkapkan dirinya untuk menghadapi tahun-tahun mendatang.





Buat Muaz buah hati ayah, tahniah ayah ucapkan. Semoga Muaz terus berusaha dengan kerajinan dan kesungguhan. Tahun 2010,  giliran Anas pulak memulakan langkah ke sekolah. Dari segi perwatakan, dia memang berbeza dari Muaz, sedikit moody. Apapun, semoga dia dapat lalui proses itu dengan keseronokan dan keterujaan, sama macam Muaz. Doa ayah dan ibu sentiasa mengiringi kalian....



Thursday, November 26, 2009

Perkahwinan Sekufu - Pandangan Peribadi

Genap sebulan blog ni aku tinggalkan tanpa entry baru...jadual harian sarat & padat dengan urusan kerja & keluarga...Budak berdua tu pun agak demanding akhir-akhir ni, perlukan lebih perhatian dan kasih sayang...

Anyway, dah lama juga aku nak cerita pasal perkahwinan sekufu ni, sebab sekarang ni aku tengok perkahwinan ni dah jadi macam 'menyewa rumah', perceraian berlaku setiap hari sampai pejabat sulh dan Mahkamah Syariah penuh dengan kes-kes backlog. Dari pemerhatian aku, kebanyakan keruntuhan institusi keluarga sekarang nie berpunca dari masalah tak sekufu. Perkahwinan sekufu boleh diertikan sebagai satu keadaan di mana sepasang suami isteri yang berada pada kedudukan yang melengkapi atau sesuai dalam beberapa aspek yang tertentu contohnya aspek pendapatan, pengetahuan, latar belakang, dan yang paling penting, agama.




Secara dasarnya, seorang suami diwajarkan untuk mempunyai kestabilan dalam aspek pendapatan, pengetahuan, kematangan dan agama. Tak dinafikan terdapat banyak kes di mana perkahwinan yang melibatkan suami 'kurang' berbanding isteri dalam aspek tertentu berada dalam keadaan yang baik dan harmoni. Namun tak kurang juga yang bermasalah lantaran suami hilang upaya dan suara dalam menentukan halatuju bahtera rumahtangga.


Lelaki Perlu Lebih Matang

Kalau kita amati trend orang dulu-dulu, perempuan biasanya berkahwin pada usia muda, selewat-lewatnya 20 tahun...dan bersuamikan seorang lelaki yang berusia sekurang-kurangnya 5 tahun lebih tua. Perkahwinan mereka itu kukuh dan stabil, hanya sekali sekala 'tergigit lidah' yang memang lumrah hidup berumahtangga. Pandangan aku, kebolehan suami dalam mencorak dan membuat keputusan yang matang dengan pengetahuan dan pengalaman merupakan faktor terbesar dalam mengekalkan keharmonian keluarga. Dalam Islam pun, lelaki diangkat dengan kelebihan dalam membuat keputusan, penghakiman dan penyaksian. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui perihal hambaNya. Wanita dikurniakan Allah SWT dengan sifat emosional sebagai isteri dan ibu, menyerlahkan kelembutan dan sifat menyayangi. Justeru, keputusan yang dibuat kaum hawa punya kecenderungan untuk dipengaruhi emosi dan perasaan yang perlu diimbangi kematangan seorang lelaki. Seorang isteri yang sentiasa ingin berada pada kedudukan sebagai 'primary decision-maker' dalam sesebuah institusi keluarga berkemungkinan meletakkan kestabilan keluarga dalam suasana 'kurang sihat' oleh kerana si suami akan sentiasa pula merasakan dirinya diperlecehkan.


Tanggungjawab Suami Terhadap Ekonomi  Keluarga


Akhir-akhir ni, terlalu kerap kita mendengar rumahtangga yang dibiayai oleh isteri. Dari tempat tinggal, kenderaan hinggalah ke perbelanjaan dapur, semuanya keluar dari 'handbag' isteri. Kegagalan suami dalam menjalankan tanggungjawab ekonomi berkait rapat dengan kredibilitinya sebagai ketua keluarga dan pembuat keputusan. Suami tidak semestinya berpendapatan lebih tinggi berbanding isteri untuk melaksanakan tanggungjawab ekonomi, apa yang lebih penting ialah suami telah menggerakkan segala upayanya untuk membiayai urusan keluarga. Dalam keadaan kebanyakan wanita bekerja, para isteri rata-ratanya tak keberatan untuk sama membantu menyara keluarga, setidak-tidaknya dapat juga membeli rumah, kenderaan dan perabot yang lebih baik berbanding jika suami berkerja seorang. Tapi itu tak bermakna suami boleh ambil sikap lepas tangan dengan melebihkan peruntukan ke arah perbelanjaan yang tak bermanfaat untuk keluarga. Tidak dinafikan terdapat isteri yang mampu meletakkan suami ditempat yang sewajarnya walaupun suami gagal dalam tanggungjawab, namun selama mana hati mampu bertahan jika suami terus menerus tidak mempamerkan ciri yang meyakinkan.


Materialistik atau Realistik

Majoriti ibubapa mahukan kebahagiaan untuk anaknya, justeru kestabilan ekonomi dan kematangan seorang lelaki menjadi antara faktor yang dinilai memilih jodoh untuk anak gadis. Bukanlah untuk bermegah bermenantukan orang berwang, cuma tak mahu anak bersuamikan 'beruang', hidup goyang kaki dengan titik peluh isteri. Bagi yang belum berkahwin, bukalah mata dan mata hati seluas-luasnya sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Cirinya ada dan boleh diduga, terpulang pada diri untuk terima.

Monday, October 26, 2009

Bajet 2010 - Penjimatan; Siapa dan Berapa?

Bajet 2010 telahpun selesai dibentangkan, seperti biasa, perbahasan  Parlimen tidak akan ada apa-apa kesan ke atas bajet tersebut & ia boleh dianggap 'jadi'. Kebanyakan kakitangan awam yang mengharapkan bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji, pasrah menerima RM500 sebagai saguhati dari YAB PM. Aku sejak dari awal memang tak mengharapkan apa-apa berbentuk bonus kerana mengenangkan kedudukan kewangan kerajaan yang tidak mengizinkan. RM500, penurunan kadar cukai kepada 26% & kenaikan pelepasan diri kepada RM9,000.00 dah cukup melegakan. Apa yang lebih menjadi perhatian adalah kaedah pelaksanaan dasar fiskal secara keseluruhan; siapakah dikalangan anggota masyarakat yang lebih beroleh manfaat daripada bajet tersebut. Jika strategi yang digariskan ditepati, 40% golongan pertengahan dan 40% golongan berpendapatan rendah seharusnya bakal merasa lega.

Sejumlah RM191.5 billion diperuntukkan bagi Bajet 2010, penyusutan sebanyak 11.2% berbanding RM215.7 billion bagi tahun 2009. Dengan RM138.3 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (penurunan sebanyak 13.7% - RM160.2 bilion, 2008) ternyata semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terpaksa mengurangkan atau dengan bahasa lebih manis, menyusun semula program dan aktiviti supaya sesuai dengan peruntukan tersebut.

Sejak pertengahan tahun 2009 lagi, beberapa pekeliling, surat pekeliling & surat arahan telah dikeluarkan untuk memastikan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah. Beberapa langkah penjimatan telah digariskan melibatkan kawalan terhadap tuntutan perjalanan, penggunaan utiliti, pembelian aset dan penganjuran kursus serta majlis rasmi. Langkah-langkah tersebut sememangnya berkesan dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Walau bagaimanapun, secara peribadi, aku berpendapat, kewujudan ketirisan yang sedang 'membudaya' dalam organisasi kerajaan lebih memerlukan perhatian serius sekiranya kita mahukan kadar penjimatan yang lebih besar. Situasi sekarang menjelaskan bahawa mekanisme kawalan sedia amat tidak efektif dan efisyen dalam mengawal dan membanteras penularan 'virus I1U1' ini. Nilai perolehan yang tak masuk akal, kelulusan kerja yang tidak melepasi piawai, pemberian tender di luar prosedur dan macam-macam lagi 'kekreatifan' lanun-lanun dari dalam perkhidmatan awam mahupun di kalangan ahli politik merupakan antara racun yang merosakkan ekonomi.

Walaupun aku tak punya angka yang betul untuk menggambarkan tahap keseriusannya, apa yang pasti jumlah ketirisan tersebut lebih dari cukup untuk menyediakan jalan dan sistem pengangkutan yang  lebih baik untuk anak-anak kecil di pedalaman untuk ke sekolah, cukup untuk membina bumbung sekolah, mahkamah & stadium yang lebih kukuh dan mungkin cukup untuk meningkatkan sistem pertahanan negara. Agak-agaknya, berapa peratus dari RM191.5 billion itu bakal lenyap tanpa memberi apa-apa pulangan kepada ekonomi negara. Fikir-fikirkan.

Friday, October 16, 2009

Persidangan Akauntan Kebangsaan 2009

Salam buat semua sahabat yang sudi berkunjung... hampir 2 minggu tak menyentuh keyboard, rindu benar rasanya nak berblog. Entry terkini kawan-kawan pun dah berderet-deret menanti untuk dibaca. Dari sejak naik cuti raya memang tak banyak masa yang dapat diluang menjenguk blog, dari urusan pejabat sampai la ke urusan peribadi, semuanya tiba-tiba jadi urgent untuk diselesaikan. Dipenghujung kesibukan tu sempat jugalah aku & Fiza meloloskan diri ke Persidangan Akauntan Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ni la kali pertama kami dapat hadir ke conference ni sejak mendaftar sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sebenarnya terlalu banyak input yang nak dikongsikan dengan sahabat-sahabat pembaca tapi buat masa ni biar aku fokuskan penulisan aku nie pada Plenary Session yang disampaikan oleh Tan Sri Amirsham A Aziz, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Pada aku sesi nie cukup penting untuk betul-betul memahami keadaan ekonomi Malaysia & mengenalpasti sama ada langkah-langkah yang telah diambil setakat ini mampu untuk melonjakkan ekonomi sekurang-kurangnya balik ke posisi asal.



Pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada tahap paling teruk semasa 1997-1998 economic crysis (>-5%). Selain tu, berdasarkan carta ni juga kita boleh simpulkan, polisi 'ekonomi belon' di mana pelaburan melebihi simpanan yang diamalkan sepanjang tempoh 1985-1997 sememangnya punya risiko yang tinggi, dimana ia menjadi punca bank-bank berada pada kedudukan insufficient reserve semasa krisis tersebut. Banyak lagi maklumat yang boleh diperolehi dari carta ni, renung-renungkan sambil fikirkan-fikirkan apa yang akan kita hadapi menjelang Wawasan 2020.



Sama ada kita sedar atau tidak kita dianggarkan telah kerugian 10 tahun berbanding tahun-tahun sebelum 1997. Kadar pertumbukan ekonomi bukan saja menyusut malah ia kekal ke paras purata 5.5% setahun menjadikan Malaysia ASEAN Tiger yang kehilangan taringnya. Seperti yang dapat dilihat, NEAC meramalkan Malaysia hanya akan mencapai status negara maju pada tahun 2030 sekiranya bertahan dengan kadar pertumbuhan sekurang-kurangnya 6% setahun.



Dengan jurang pendapatan yang semakin melebar, Malaysia bakal menempah ketaksamaan sosial yang dah melanda negara-negara seperti India dan Indonesia. Masalah ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi dan kekayaan negara hanya akan dirasai oleh segelintir kecil ahli masyarakat (top 20%) dan yang selebihnya hanya akan mendapat tempias darinya.

Kalau ada yang berminat untuk dapatkan versi penuh presentation daripada Tan Sri Amirsham, boleh dapatkan di sini.

Thursday, August 27, 2009

Salam Ramadhan 1430 Hijriyyah

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat sahabat-sahabat pembaca. Mungkin ucapan ni agak terlambat sebab kita telah pun mengharungi hari ke-6 berpuasa, tapi harapnye belum terlalu lewat untuk aku berkongsi minda dan cerita untuk renungan dan penghayatan bersama.

1430H, masuk tahun ke-5 aku menyambut Ramadhan sebagai seorang suami, sekaligus tahun ke-4 sebagai seorang bapa. Saban tahun, Ramadhan datang dan pergi dan aku masih di sini sebagai seorang manusia yang masih diberi kesempatan untuk menimba barakah, rahmah dan maghfirah yang melimpah ruah. Alhamdulillah....syukur, namun akan tiba satu ketika kesempatan tidak lagi menyebelahi aku. Kerapkali aku membuka Ramadhan dengan tekad memperbaiki kualiti muslim dan mu'min dalam diri, dan kerapkali juga ruang dan peluang tidak aku manfaatkan sebaiknya. Pada usia yang mencecah 30, teringat pada sabda Nabi SAW, "Siapa saja yang mencapai umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatannya bersiap-siaplah untuk ke Neraka". Naúzubillah...

Tanggungjawab yang digalas menyedarkan lagi betapa aku harus segera bangkit bukan sekadar untuk memperbaiki diri sendiri, tapi untuk memimpin semua yang dibawah tanggungan untuk benar-benar menghayati Ihya' Ramadhan. Pesan seorang sahabat/ustazah dalam blognya membuat hati aku tersentak, "...melatih anak berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu adalah melatih nafsu untuk tunduk patuh kepada arahan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Mengawal keinginan diri untuk bertindak berpandukan syariatNya. Itulah hikmah TAQWA yang harus dititikberatkan dalam pendidikan berpuasa anak-anak, sejak mereka kecil lagi...".

Tahun ini Muaz dan Anas mula belajar berpuasa, tahun ini aku akan gandakan usaha. Semoga Allah SWT memilih aku untuk menghiasi Ramadhan ini lebih dari apa yang pernah aku lakukan sebelum ini....Amin.

Friday, August 14, 2009

H1N1 : Sedikit Info Untuk Dikongsi

Saya terima emel dari seorang sahabat, memberi sedikit informasi berhubung H1N1. Bagi saya, ia merupakan maklumat yang sangat baik dan praktikal. Disini saya kongsikan bersama pengunjung blog:

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit babi sahaja) dan telah berevoluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yang lebih tinggi di dlm rantaian makanan iaitu manusia, dan semasa di dlm badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air-born' dan menjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka hayat virus

Oleh kerana ia adalah virus air-born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja . Jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host (badan manusia) ia akan mati. maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air-ventilation yang baik akan 'bersih' dari virus tersebut. Sebenarnya outbreak virus ini telah berlaku lebih awal di Amerika Syarikat namun ia tidak dilaporkan kepada WHO. Umum hanya mengetahu Mexico adalah sumber pertama kes H1N1.

Virologi virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari menunjukkan virus ini cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit. Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hingga 4 hari dijangkiti. H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara jangkitan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS) Pada peringkat awal, ia kesannya hanya pada 'trakea', jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse'. Ia amat berbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Siapa yang berisiko tinggi

1. orang yang ada masalah 'obesiti' @ gemuk
2. perempuan yang mengandung
3. orang yang ada asthmatic
4. orang yang lemah sistem imunisasi (baru menjalani pembedahan besar, kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan yang rendah tahap imuniti).

Simptom-simptom

Hari pertama : Rasa kurang sihat, tak bermaya.
Hari kedua : Selsema, batuk dan demam yang kekal (tidak kebah walaupun selepas ambil ubat)
Hari ketiga : Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Hari keempat : Sakit dada yang teruk
Hari kelima : Lung collapse @ koma.


Langkah Kawalan

  1. Jauhi menghadiri kawasan tumpuan ramai (terutama golongan yang berisiko tinggi).
  2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran.
  3. Elakkan diri jika berhadapan dengan orang yang batuk, bersin dan kurang sihat.
  4. Jika kurang sihat, elakan diri dari bersosial dan berkumpul.
  5. Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang-kurangnya 3 ply mask)
  6. Jika ada tanda-tanda simptom diatas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.
  7. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus. Jika tidak sakit, jangan ambil anti-viral kerana jika ia boleh mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat untuk merawat jika terkena jangkitan.

Vaksin untuk ‘frontliner’ hanya akan 'wujud' seawal-awalnya pada Oktober 2009. Untuk orang awam selewat-lewatnya pada 2010. Oleh itu, tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbrake ini. Sama-samalah berdoa berdoa kepada Allah S.W.T. agar bala ini cepat berlalu.

Thursday, July 30, 2009

Zon Larangan Merokok : Di Mana Sensitiviti Kita?

Dah lama jugak aku berniat nak tulis pasal rokok ni, tapi bila mengenangkan kawan-kawan yang masih lagi terbelenggu dengan rokok, rasa tak sampai hati. Tapi lepas difikir-fikirkan, ada baiknya aku teruskan kerana niat aku hanya untuk berkongsi rasa dan minda. Aku bukan la ustaz yang nak cerita pasal hukum merokok, kaedah istinbat hukum merokok dan perbezaan pendapat ulama tentang hukum merokok. Aku pun bukannya doktor yang pandai nak mengupas tentang bahayanya rokok dan unsur-unsur dalam rokok tu kepada manusia. Tapi sebagai orang awam, aku rasa bertanggungjawab untuk menyeru para perokok semua supaya lebih sensitif terhadap zon larangan merokok.


Setakat ini, tidak kurang daripada 22 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok melibatkan lobi hotel, ruang pejabat berhawa dingin, pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan (kecuali kawasan yang dikhaskan), lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan, institusi pendidikan tinggi, tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium, stesen minyak, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan serta kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain. Dari apa yang aku perhatikan, pelaksanaan zon larangan merokok agak kurang diberi perhatian terutamanya di sekolah, tempat makan, lif, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam malah di pusat asuhan kanak-kanak.


Sebagai orang dewasa, aku rasa para perokok cukup matang dalam menentukan keadaan dan tempat yang sesuai untuk merokok agar tidak melibatkan orang lain dalam 'upacara' tu, kerana prinsipnya adalah mudah, asap rokok tu seharusnya tidak masuk ke paru-paru orang lain. Dari pengalaman peribadi aku sendiri, kerapkali aku terperangkap dengan insiden dikelilingi oleh beberapa perokok yang tanpa rasa bersalah menghembus asap rokok semasa berbual. Yang lebih mengharukan ada juga yang sudi nak mendukung anak dengan rokok berasap di tangan.


Para perokok seharusnya telah sangat sedar tentang bahaya merokok seperti yang dah diwar-warkan berdasarkan kajian dan pengalaman. Jika seseorang memilih untuk merokok bermakna dia turut memilih untuk mengambil risiko merokok. Oleh kerana pilihan itu adalah pilihan peribadi, maka risikonya juga perlulah diambil secara peribadi tanpa melibatkan orang lain. Para perokok perlu lebih sensitif terhadap persekitaran terutamanya terhadap wanita mengandung dan kanak-kanak. Para perokok juga pastinya tak suka ditegur secara peribadi terutamanya dikhalayak ramai. Oleh itu, jadilah warga yang bertanggungjawab.

Wednesday, May 27, 2009

Ayah Garang...

Ayah Garang...agaknya tu lah label yang Muaz & Anas nampak tertampal kat atas dahi aku ni. Memang ada silap aku, kadang2 aku expect & demand sesuatu yang lebih dari diorang & cepat nak marah kalau diorang fail to meet the expectation. Aku memang sedar kesilapan aku ni, tapi kerapkali kesedaran tu datang selepas aku marah diorang. Ynag pastinya kegarangan tu bukan bermakna aku kurang sayang diorang berbanding Fiza, cuma cara aku tu dikategorikan sebagai garang...

Banyak juga yang dah aku usahakan untuk sekurang-kurangnya kawal kegarangan aku ni, sedikit sebanyak nampak juga kesannya. Walaupun dari semasa ke semasa aku dah berjaya kurangkan kegarangan aku, tapi nampaknya label tu masih lekat pada aku sebab bila aku tanya Muaz & Anas kenapa tak nak mengaji dengan ayah, diorang jawab "ayah garang..."


Ada orang kata elok juga diorang takut dengan aku, sekurang-kurangnya ada orang yang diorang takut. Hmmm...memang ada kebenarannya, sebab ada benda yang ibu suruh dia tak nak buat, bila aku suruh cepat je diorang bertindak... Tapi dari sudut yang lain macam tak fair la pulak, aku ni macam watak Squidward dalam cerita kartun Spongebob, tak glamour. Kesannya, aku dapat rating sayang yang rendah dari diorang...huhuhu...


Apa pun, usaha akan diteruskan untuk menambah elemen kasih sayang yang lebih obvious dalam mendidik Muaz, Anas dan keturunan aku yang seterusnya... Aku mahu diorang rasa nilai kasih sayang seorang ayah yang melimpah ruah, jauh melebihi sayang pada diri sendiri... Semoga suatu hari nanti diorang faham maksud dan niat di sebalik kegarangan aku ni...