Thursday, March 10, 2011

Bertukar Angin...

Setelah 3 tahun 7 bulan berkhidmat di JB, akhirnya aku dan Fiza ditukarkan semula ke Putrajaya. Walaupun kami dah buat keputusan untuk tidak memperbaharui permohonan, tapi nama kami tersenarai juga...

Alhamdulillah, hasrat untuk masuk rumah sendiri di Nilai termakbul. Kelam kabut juga uruskan hal pindah rumah dan sekolah anak-anak, apatah lagi dalam keadaan Fiza yang tengah 'sarat'. Kami cuma ada seminggu untuk kemas barang-barang, mujurlah dapat bantuan family & kawan-kawan ofis. Baru la aku sedar banyak juga sampah yang aku simpan kat dalam rumah...stereng kereta lama, mainan rosak, barang-barang komputer yang dah rosak/outdated, majalah lama...dalam 6 plastik besar juga la... Muaz dan Anas pun sama tolong 'mengemas', orang masukkan dalam kotak, diorang tolong keluarkan balik.....

Oleh sebab kami memang tak terfikir untuk ke Putrajaya dalam tempoh terdekat, rumah pun belum betul-betul sempurna. Dengan lalang tumbuh depan rumah dan tile berhabuk, terpaksa la berkampung kat rumah tu 3 hari untuk basuh dan bersihkan.

5.3.2011, kami serah kunci rumah sewa di JB dan berangkat ke Nilai. Sampai-sampai je terus bekerja keras untuk susun barang-barang yang penting...mujur dapat bantuan kawan-kawan dari ofis lama, kalau nak harap aku sorang angkat almari ke tingkat atas, alamat tak bergerak la almari tu....

Semalam, seharian kami habiskan untuk register Muaz dan Anas masuk tadika baru. Kebanyakan tadika dalam senarai kami penuh dan ada juga yang kami rasakan tak sesuai atas sebab-sebab tertentu...akhirnya pukul 4 lebih baru kami berjaya dapatkan yang sesuai....alhamdulillah...

Hari ni dah hampir seminggu aku kat sini, alhamdulillah...keadaan rumah dah semakin teratur, memang saje kami kemas cepat-cepat sebab mata tak tahan tengok kotak-kotak tu berlonggok...kalau ikut rasa badan memang macam nak demam...takpe la...untuk keselesaan diri sendiri jugak...

Mudah-mudahan aku dapat jadi seseorang yang mampu berbakti dalam komuniti aku yang baru ni...

Wednesday, January 12, 2011

Tukar Sekolah

Salam buat semua... Hampir dua bulan tak berblog, kalau nak kena beri alasan...memang macam-macam, dari kesibukan year-end closing sampai la kes keracunan makanan, semuanya buatkan aku menyepikan blog ni dari sebarang cerita baru. Apapun, cerita yang terpilih sebagai entry pertama tahun 2011 ni ialah cerita Muaz & Anas tukar sekolah.

Aku & Fiza sebenarnya memang dah agak lama kurang berpuas hati dengan pengurusan sekolah lama tu, bermula dengan pertukaran cikgu yang terlalu kerap kemudian pelaksanaan proses pengajaran yang kami rasakan kurang teratur. Mungkin tanggapan kami salah, tapi atas faktor tu, aku & Fiza mula berfikir-fikir untuk tukarkan Muaz & Anas ke sekolah baru, disamping dapat keluarkan mereka dari 'masalah' sekolah lama, dapat juga diorang rasa environment yang berbeza.

Walaupun keputusan masih belum muktamad, proses mengenalpasti sekolah baru bermula dalam bulan September 2010. Fokus kami ialah tadika Islam yang ada modul khusus untuk bacaan Bahasa Inggeris sebab pada penilaian kami, sekolah lama memang kurang beri penekanan aspek ni.

Selepas buat penilaian terhadap beberapa buah tadika, pada penghujung Disember 2010, alhamdulillah, kami berjaya memuktamadkan keputusan untuk memilih Tadika Umiku Sayang sebagai sekolah baru Muaz dan Anas. Pada peringkat awal Muaz agak sedih sebab terpaksa tinggalkan kawan-kawan di sekolah lama, tapi akhirnya dia faham hasrat ayah dan ibu.

3 Januari 2011, mereka mulakan sesi persekolahan di tadika baru. Alhamdulillah, diorang nampak seronok jumpa dengan kawan-kawan dan cikgu baru. Hari ke hari, nampaknya mereka dah dapat sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Harapnya persekitaran baru tu memberikan kesan positif terhadap pencapaian rohani dan akademik mereka. Ayah dan ibu iringi dengan doa semoga kalian membesar sebagai anak yang soleh.

Monday, November 15, 2010

Tahniah Muaz & Anas



Sabtu lepas, berlangsungnya  Hari Penyampaian Hadiah & Konsert Akhir Tahun Tadika Al-Aqil di Auditorium JOTIC Johor Bahru. Tahniah buat buah hati ayah Muaz dan Anas atas pencapaian yang membanggakan ayah dan ibu. Makin berkobar-kobar semangat kami untuk teruskan agenda pendidikan awal untuk anak-anak. Mungkin apa yang ayah dan ibu mampu beri bukanlah yang terbaik, tapi itulah usaha terbaik kami untuk masa depan kalian, hanya pada Allah SWT jua tempat kami mohon petunjuk dan pertolongan.



Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin oleh pelajar-pelajar KG2 (6 tahun). Subhanallah, kemampuan kanak-kanak memang mengagumkan. Dalam tempoh yang singkat, mereka mampu untuk menghafal Surah Yaasin. Syahdu hati mendengar gema suara-suara 'halus' mengalunkan ayat suci.



Muaz dan Anas turut terlibat dalam persembahan. Setelah hampir sebulan berlatih, Muaz dan Anas berjaya dalam persembahan pentas mereka yang pertama. Kedua-duanya tak nampak nervous pun, ibu dengan ayah yang 'kecut perut' sebab Muaz diberi peranan yang agak berat juga iaitu memimpin nyanyian nasyid Anak Soleh untuk KG1 dan secara ad hoc disuruh memimpin nyanyian lagu Andaiku Tahu (Ungu) bagi tahap KG2. Anas pulak diserap dalam group KG1 sebab 'terlebih semangat' nak perform. Alhamdulillah, persembahan anak-anak kecil memang sentiasa menghiburkan. Apapun semoga penampilan umum sebegini memupuk keyakinan diri mereka dan tak mewarisi ke'gabraan' ayah mereka.





Harapan kami semoga mereka membesar dalam suasana pendidikan yang sempurna. Matlamat kami agar apa yang mereka perolehi hari ini menjadikan mereka insan cemerlang dunia dan akhirat. Semoga mereka semua membesar sebagai generasi yang soleh dan cemerlang di sisi Allah SWT.

Tuesday, November 9, 2010

Komitmen dan Fokus




Aku bukanlah seorang ayah yang berpengalaman dan berjaya dalam misi membesarkan dan mendidik anak, malah aku sendiri masih menimba dan mencari-cari sistem, kaedah, petua atau apa saja yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik. Tapi status 'tak berpengalaman' tu bukan lah alasan untuk aku gagal memberi yang terbaik kepada anak-anak. Pokok pangkalnya ialah komitmen dan fokus.

Selalu aku tanya diri sendiri:
  • dari 24 jam sehari yang Allah SWT kurniakan pada aku, berapa jam yang aku peruntukkan untuk anak-anak?
  • dari sejumlah RM rezeki yang aku terima setiap bulan, berapa banyak aku peruntukkan untuk pendidikan dan kebajikan anak-anak?

.....dan yang paling penting,
  • dari lebih 100 billion neuron dalam otak aku, berapa peratus yang digunakan untuk fikir tentang insan-insan kecil yang telah Allah SWT amanahkan pada aku?

Aku ingatkan diri sendiri, mendidik anak bukan tugas sampingan, malah itulah tugas dan fokus utama aku sebagai seorang insan yang dah berkeluarga. Memang kita punya banyak komitmen dalam hidup, tapi walau apa pun keadaannya, aku perlu secara aktif mencari jalan supaya fokus utama ni tak terabai.

Setiap anak punya potensi untuk berjaya dengan cemerlang dan perlu diberi ruang dan peluang untuk mengasah dan menggilap potensi dirinya. Tidak wajar dan zalim jika seseorang anak dilabel secara negatif. Setiap anak berhak mendapatkan proses pendidikan yang positif pada awal usianya yang bakal membentuk sahsiah diri dan keteguhan peribadi. Pendidikan agama, merupakan tunjang segala pelajaran yang harus diberikan sebagai landasan kepada proses pendidikan yang lain. Justeru, komitmen dan fokus ke arah memberi pendidikan yang berkesan kepada anak seawal mungkin adalah satu tanggungjawab.

Ibubapa adalah guru yang utama bagi anak. Segala tindak tanduk, pertuturan, gaya bahasa dan sikap yang dipamerkan oleh ibubapa mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk ditiru oleh anak-anak. Dalam keadaan anak masih lagi tercari-cari contoh, tindakbalas, perkataan dan sikap untuk dihadam, apa yang terlintas di depan mata dan terdengar di telinga diserap dengan cepat dalam registry anak-anak. Justeru, komitmen dan fokus dalam mempamerkan tauladan yang baik kepada anak-anak adalah satu tanggungjawab.

Berdoalah semoga Allah SWT mendidik kita untuk mendidik dan membimbing kita untuk membimbing.

Sunday, September 19, 2010

Airmata Nur Salina


Alhamdulillah...cuti raya 11 hari berjaya dimanfaatkan dengan sempurna. Selesai semua misi dan visi, tercapat semua matlamat dan hasrat....alhamdulillah. Esok, everything is back to normal, harap-harapnye tak la aku terbawa-bawa kesantaian cuti nanti...

Malam semalam, sekitar pukul 10, sedang aku termenung-menung melayan kelopak mata yang makin memberat, tertengok pulak satu telemovie yang sangat menyentuh hati. Cerita arahan Erma Fatima yang dibintangi Remy Ishak dan Datin Paduka Umi Aida betul-betul berkesan. Tahniah aku ucapkan. Gaya lakonan yang mantap, jalan cerita yang realistik dan skrip yang teliti menjadikan setiap perjalanan cerita tu aku ikuti dengan penuh perhatian, hilang rasa mengantuk...

Sebenarnya aku sangat terkesan dengan mesej yang dibawa dalam cerita tu. Kisah seorang remaja perempuan yang 'mabuk cinta' sampai sanggup membelakangkan agama dan keluarga. Mungkin ada yang fikir ia kisah biasa yang ditonjolkan kebanyakan drama dan filem, tapi bagi aku Airmata Nur Salina punya kelainan dalam setiap babak yang dipertontonkan. Ia memberikan justifikasi yang sebenar, bagaimana cinta yang diperjuangkan tanpa berlandaskan agama dan restu ibubapa bisa meletakkan seorang wanita dalam penyesalan sepanjang hayat.




Cinta Salina yang 'luhur dan murni' terhadap Afka yang dihalang ibubapanya ekoran 'ketelanjuran'nya membuatkan dia merasakan telah dinafikan hak untuk beroleh kebahagiaan hidup. Akal singkatnya membawa Salina mengejar 'kebahagiaan' impiannya. Atas dasar cinta yang menggunung, Salina hilang rasionalnya dan membutakan mata terhadap kekurangan lelaki pilihannya yang nyata lemah rohani dan miskin jati diri. Kepercayaan dan cintanya jugalah yang mengheret Salina hingga ke tali gantung.



Sebagai lelaki, aku akui watak Afka lakonan Remy Ishak merupakan cerminan kepada rapuhnya cinta dan dangkalnya otak lelaki tanpa suluhan cahaya iman. Dia boleh jadi seorang suami dan bapa yang pengasih dan penyayang dan dia juga boleh jadi makhluk perosak yang menjahanamkan keluarga. Pokok pangkalnya ialah kesedaran tentang tanggungjawab rohani dan jasmani kepada keluarga.



Afka punya keazaman untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik atau lebih tepat untuk menjadi seorang hambaNya yang baik, namun pasti, ia bukanlah semudah menekan suis on/off. Mujahadah melawan hasutan syaitan dan nafsu berlangsung setiap saat. Setiap orang menghadapi cabaran yang berbeza, bergantung pada kekuatan pegangan pada agama, bi'ah (persekitaran) dan sejauh mana seseorang itu bersedia untuk diuji. Bagi Afka, Leman merupakan ujian yang melumpuhkan sistem pertahanannya. Afka terjebak dalam kancah judi yang menjadi punca kehancuran kerjaya dan keluarganya. Malah, Salina turut menjadi taruhan kegilaannya terhadap judi.



Kenapa agaknya aku sangat menghargai karya seni ni. Mungkin kerana aku acapkali mendapat tahu dan diberitahu tentang ketaksuban terhadap cinta sesama makhluk hingga gagal berpegang pada rasional dan petunjuk Ilahi. Nasihat, pandangan, pendapat dan teguran orang berilmu dan orang-orang tua yang dah banyak 'makan garam' dikuis ketepi dan dianggap kolot dan kurang memahami. Mereka hanya melihat yang indah-indah dalam gerbang perkahwinan dengan pasangan idaman, namun gagal memahami bahawa hakikat perkahwinan penuh kebertanggungjawaban. Mereka lupa untuk buat penilaian adakah pasangan idaman mampu menggalas tugas-tugas yang diharapkan.

Buat yang belum, masih punya masa untuk buat keputusan. Buat yang dah terlajak, pasti ada laluan untuk kembali ke pengkalan. Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang membawa kebahagiaan yang berkekalan.