Thursday, January 28, 2010

Buat YB Zul dan YB Khalid...




Salam YB yang dikasihi,


Saya sebagai marhaien yang kerdil berdoa kepada Allah SWT semoga perjuangan Islam akan terus hidup subur di bumi Malaysia.

Berhubung dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, saya amat berharap perbezaan pendapat antara YB Zulkifli dan YB Khalid dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Oleh kerana tiada nas yang jelas menghalang penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, bukanlah sesuatu yang menjejaskan akidah jika kita 'memberi izin' untuk orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Walau bagaimanapun, sememangnya terdapat kemungkinan besar pihak Kristian akan menyalahgunakan kalimah Allah bagi tujuan mengelirukan umat Islam. Kedua-dua pandangan pro dan kontra terhadap isu tersebut mempunyai asas dan hujah, dan masing-masing banyak bergantung pada hukum akal dan keadaan semasa. Saya yakin YB berdua lebih memahami isu ini berbanding saya. Justeru semangat musyawarah seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin wajar dijadikan panduan dan teladan dalam menangani perbezaan pendapat. Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan yang terbaik. Sikap berlapang dada, menghormati dan meraikan pendapat yang berbeza seperti yang diamalkan oleh Imam-Imam Mazhab dan ulama' silam juga wajar dicontohi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" (Surah Ali Imran , ayat 159)

Harap YB berdua dapat menerima kata-kata saya sepertimana Khalifah Umar dapat menerima teguran dari seorang wanita tua. Saya melihat 'perang' melalui media antara YB Zulkifli dan YB Khalid hanya akan meruntuhkan kredibiliti YB berdua di mata rakyat. Keegoan yang membawa kepada persengketaan dan perpecahan hanya merugikan umat Islam dan menguntungkan musuh Islam. Berdamailah, atas dasar kasih kita kepada Allah SWT dan agamaNya, pasti ada jalan dan kaedah yang lebih indah dalam menangani masalah ini. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar...

* komen ini telah dihantar kepada YB-YB yang dikasihi melalui blog.