Monday, September 28, 2009

Indahnya Lebaran Kurniaan Tuhan

Salam Aidilfitri buat sahabat pelawat & pembaca, agak lewat ucapan aku ni, tapi kira okay la since mood hari raya masih berbaki. Hari ni kebanyakan dari kita dah pun kembali bertugas, terasa sekejap benar seminggu lebih menghabiskan masa beraya di kampung, belum habis pun meronda rumah sedara mara.


Bercerita tentang raya, tahun ni aku sekeluarga memulakan Hari Raya kat rumah mertua di Sg. Balang, Muar, salah sebuah kawasan yang masih lagi menyimpan originality suasana perkampungan Johor. Raya tahun ni juga ada satu keunikan yang dah lama tak dirasai iaitu malam raya jatuh pada malam pengumuman. Kebiasaannya raya akan jatuh selang sehari selepas malam pengumuman. Jadi, walaupun kebanyakan orang dah ala-ala konfiden raya jatuh pada hari Ahad, aku masih jugak menunggu pengumuman penyimpan mohor besar raja-raja, saje nak dapatkan feel raya macam zaman kanak-kanak dulu...


Beraya sebagai seorang ayah, anak-anaklah yang paling aku raikan. Sejak dari awal puasa lagi aku dah war-warkan akan kedatangan lebaran dan kemeriahannya. Pada malam raya tu aku nampak keterujaan di wajah Muaz & Anas menunggu pagi, tak sabar nak pakai baju raya. Walaupun agak sibuk dengan persiapan yang belum selesai, aku & Fiza berusaha juga lah melayan kerenah budak berdua tu, main bunga api, nak makan kuih. Tengok keceriaan Muaz & Anas, teringat pada anak buah aku yang dah kehilangan ayah & berjauhan dari ibu, hanya nenek, pakcik & makcik jadi pengganti. Harap diorang tak terasa sangat kekurangan berhari raya. Semoga aku dapat berikan kasih sayang seorang ayah kepada diorang.


Laungan takbir raya tahun ni aku sahut dengan keazaman untuk memohon dan menghulur sebanyak mungkin keampunan dan kemaafan, selama 30 tahun aku bernafas, dah berbukit bukau dosa yang aku buat, tak sanggup rasanya nak memikulnya di Mahsyar nanti. Sebagai lelaki, aku akui ego menjadi halangan paling besar untuk berhadapan dengan hakikat kesalahan. Namun apalah ada pada ego jika nak dibandingkan dengan luasnya rahmat Tuhan. Aidlfitri peluang kita menjernihkan keadaan, meleraikan kekusutan, melenyapkan permusuhan, mengeratkan persaudaraan. Itulah Rahmat di sebalik kemenangan seusai Ramadhan.