Bajet 2010 telahpun selesai dibentangkan, seperti biasa, perbahasan Parlimen tidak akan ada apa-apa kesan ke atas bajet tersebut & ia boleh dianggap 'jadi'. Kebanyakan kakitangan awam yang mengharapkan bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji, pasrah menerima RM500 sebagai saguhati dari YAB PM. Aku sejak dari awal memang tak mengharapkan apa-apa berbentuk bonus kerana mengenangkan kedudukan kewangan kerajaan yang tidak mengizinkan. RM500, penurunan kadar cukai kepada 26% & kenaikan pelepasan diri kepada RM9,000.00 dah cukup melegakan. Apa yang lebih menjadi perhatian adalah kaedah pelaksanaan dasar fiskal secara keseluruhan; siapakah dikalangan anggota masyarakat yang lebih beroleh manfaat daripada bajet tersebut. Jika strategi yang digariskan ditepati, 40% golongan pertengahan dan 40% golongan berpendapatan rendah seharusnya bakal merasa lega.
Sejumlah RM191.5 billion diperuntukkan bagi Bajet 2010, penyusutan sebanyak 11.2% berbanding RM215.7 billion bagi tahun 2009. Dengan RM138.3 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (penurunan sebanyak 13.7% - RM160.2 bilion, 2008) ternyata semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terpaksa mengurangkan atau dengan bahasa lebih manis, menyusun semula program dan aktiviti supaya sesuai dengan peruntukan tersebut.
Sejak pertengahan tahun 2009 lagi, beberapa pekeliling, surat pekeliling & surat arahan telah dikeluarkan untuk memastikan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah. Beberapa langkah penjimatan telah digariskan melibatkan kawalan terhadap tuntutan perjalanan, penggunaan utiliti, pembelian aset dan penganjuran kursus serta majlis rasmi. Langkah-langkah tersebut sememangnya berkesan dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Walau bagaimanapun, secara peribadi, aku berpendapat, kewujudan ketirisan yang sedang 'membudaya' dalam organisasi kerajaan lebih memerlukan perhatian serius sekiranya kita mahukan kadar penjimatan yang lebih besar. Situasi sekarang menjelaskan bahawa mekanisme kawalan sedia amat tidak efektif dan efisyen dalam mengawal dan membanteras penularan 'virus I1U1' ini. Nilai perolehan yang tak masuk akal, kelulusan kerja yang tidak melepasi piawai, pemberian tender di luar prosedur dan macam-macam lagi 'kekreatifan' lanun-lanun dari dalam perkhidmatan awam mahupun di kalangan ahli politik merupakan antara racun yang merosakkan ekonomi.
Walaupun aku tak punya angka yang betul untuk menggambarkan tahap keseriusannya, apa yang pasti jumlah ketirisan tersebut lebih dari cukup untuk menyediakan jalan dan sistem pengangkutan yang lebih baik untuk anak-anak kecil di pedalaman untuk ke sekolah, cukup untuk membina bumbung sekolah, mahkamah & stadium yang lebih kukuh dan mungkin cukup untuk meningkatkan sistem pertahanan negara. Agak-agaknya, berapa peratus dari RM191.5 billion itu bakal lenyap tanpa memberi apa-apa pulangan kepada ekonomi negara. Fikir-fikirkan.