Friday, February 19, 2010

Jangan Menghina Hukum Allah...



Memang amat keterlaluan kenyataan akhbar Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) Hamidah Marican terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam yang disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram. Saya melihat tindakannya membantah pelaksanaan hukuman itu dengan alasan bahawa "ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan" dan "tidak efektif" sangat melampau dan merupakan satu penghinaan terhadap undang-undang Islam. Selain dari beliau, Presiden Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Sofia Lim Siu Ching dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan turut 'tumpang semangkuk' mengkritik hukuman tersebut. Entah mana perginya manusia-manusia yang sanggup bertegang urat mempertahankan perarakan Maulidul Rasul, tak berbunyi pulak bila hukum Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dihina oleh makhluk-makhluk yang jahil.

Dalam surah An-Nur ayat 2 Alllah SWT berfirman;

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Cukuplah ayat ini menjelaskan betapa hukuman rotan ke atas penzina itu merupakan ketetapan Allah SWT yang qat'íe. Sebagai manusia yang seluruh jasad, roh, pemikiran, intelek dan ilmunya dipinjam dari Tuhannya, layakkkah kita berkata bahawa hukum ketetapan Allah itu sesuatu yang kuno, zalim dan tidak efisyen? Tersesatlah kalau kita fikir kita berkelayakan.

Penghinaan seumpama ini lebih-lebih lagi oleh seorang manusia yang mengaku Islam sangat keterlaluan. Barangkali kalau Saiyidina Umar r.a. masih hidup, telah terpisah kepala manusia itu dari jasadnya. Insaflah dan bersederhanalah dalam memberi pandangan. Ingatlah, dunia ini hanya tempat tumpangan buat sementara, akhiratlah tempat yang kekal selama-lamanya. Kesakitan di dunia ini amatlah sedikit berbanding seksaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita semua terhindar darinya.

No comments:

Post a Comment