Friday, February 19, 2010

Jangan Menghina Hukum Allah...



Memang amat keterlaluan kenyataan akhbar Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) Hamidah Marican terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam yang disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram. Saya melihat tindakannya membantah pelaksanaan hukuman itu dengan alasan bahawa "ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan" dan "tidak efektif" sangat melampau dan merupakan satu penghinaan terhadap undang-undang Islam. Selain dari beliau, Presiden Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Sofia Lim Siu Ching dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan turut 'tumpang semangkuk' mengkritik hukuman tersebut. Entah mana perginya manusia-manusia yang sanggup bertegang urat mempertahankan perarakan Maulidul Rasul, tak berbunyi pulak bila hukum Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dihina oleh makhluk-makhluk yang jahil.

Dalam surah An-Nur ayat 2 Alllah SWT berfirman;

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Cukuplah ayat ini menjelaskan betapa hukuman rotan ke atas penzina itu merupakan ketetapan Allah SWT yang qat'íe. Sebagai manusia yang seluruh jasad, roh, pemikiran, intelek dan ilmunya dipinjam dari Tuhannya, layakkkah kita berkata bahawa hukum ketetapan Allah itu sesuatu yang kuno, zalim dan tidak efisyen? Tersesatlah kalau kita fikir kita berkelayakan.

Penghinaan seumpama ini lebih-lebih lagi oleh seorang manusia yang mengaku Islam sangat keterlaluan. Barangkali kalau Saiyidina Umar r.a. masih hidup, telah terpisah kepala manusia itu dari jasadnya. Insaflah dan bersederhanalah dalam memberi pandangan. Ingatlah, dunia ini hanya tempat tumpangan buat sementara, akhiratlah tempat yang kekal selama-lamanya. Kesakitan di dunia ini amatlah sedikit berbanding seksaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita semua terhindar darinya.

Wednesday, February 17, 2010

Selepas ni, apa?


Semasa semester akhir di UIA dulu, pernah seorang sahabat bertanya, "apa perancangan lepas grad ni?" "cari kerja" jawab aku ringkas. Soalan dilanjutkan lagi..."lepas tu?" "hmm...kahwin, dapat anak, besarkan anak..." aku menjawab tanpa pasti. "Maksudnya, sepanjang umur kita ni akan disibukkan dengan mengurus diri sendiri & keluarga sendiri..." sahabat mula menduga. Aku pun tak pasti sama ada itu merupakan pertanyaan atau pernyataan. Aku biarkan kata-kata sahabat aku tu tergantung tanpa dijawab. Namun kata-kata tu punya pengaruh tersendiri pada kehidupan aku sampai hari ni. Sesekali, terngiang kata-kata tu, buat aku flashback apa yang aku dah lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan. Alhamdulillah...banyak juga perkembangan yang positif dalam hidup, tapi secara jujurnya...matlamat yang disasarkan masih kurang tercapai. Belum lagi cerita untuk berjuang untuk agama, kekuatan untuk membina diri dan keluarga sendiri pun tampak masih goyah.

Perbualan antara aku & sahabat aku tu mula menjadi realiti. Hari ini, aku merupakan manusia yang sibuk dengan urusan diri dan keluarga sendiri. Perjuangan agama? Cakap aje tindaknya takde... Sumbangan pada masyarakat? Takde pun yang hebat2... 

Selalu aku berfikir & bertanya, sejauh mana aku boleh lakukan atas kapasiti sekarang? Mungkin aku dah sampai dinding yang aku kena cari pintunya untuk lihat apa yang ada disebelah sana...seperti kata-kata Afdlin Shauki dalam Cuci. Teringat pula pesan arwah ayah, "jangan tunggu ada jawatan baru nak buat kerja, selagi kita tahu kita buat perkara yang betul, jangan pedulikan apa orang kata..." itu resepi hidup arwah ayah yang membuatkan kehilangannya amat dirasa.

Dah lama juga aku fikirkan wasilah yang boleh aku gunakan, malah pernah juga aku mencuba beberapa jalan. Jemaah tabligh, nasyid, politik, NGO malah blog ni pun aku create atas tujuan yang sama tapi entah lah, rasa macam kurang impaknya.

Banyak lagi yang aku perlu belajar, supaya aku lebih faham, lebih tabah dan lebih kuat untuk menjadi seorang pejuang, kerana jalan perjuangan tak akan pernah senang. Semoga aku tak mengisi tabung akhirat dengan kesibukan dunia.