Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Monday, May 3, 2010

Lebih Zalim Dari Firáun



Kes-kes pembunuhan dan pembuangan bayi kembali mendapat perhatian media, secara tak langsung mengingatkan kita bahawa isu pembuangan bayi masih belum selesai dan tak pernah berhenti berlaku. Memang amat menyedihkan melihat keadaan bayi-bayi yang masih suci tak berdosa dibunuh dengan kejam lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang mengaku Muslim. Entah mana letaknya iman pada masa pembunuhan dan pembuangan dilakukan sehingga tergamak untuk bertindak sekejam itu.

Cuba kita hayati kisah Firáun ketika dia mendapat tafsiran mimpi oleh ahli nujum bahawa kuasa pemerintahan negara Mesir akan jatuh ke tangan seorang pemuda Bani Israel, maka diarahkan seluruh kekuatan tentera bagi mengeledah rumah di seluruh pelosok Mesir untuk mencari dan membunuh semua bayi lelaki Bani Israel. Itulah antara episod kekejaman Firáun yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam kalamNya Yang Agung. Pada ketika itulah, seorang ibu dengan linangan air mata dan tawakkal yang tinggi, menghanyutkan bayi lelakinya mengikut arus Sungai Nil demi menyelamatkan nyawanya dari direnggut kerakusan tentera Firáun. Dengan takdir Allah SWT mengatasi segalanya, bayi yang dihanyutkan bukan sahaja selamat malah telah berjaya untuk membesar dalam istana Firáun sendiri. Namun apabila kehadiran bayi lelaki itu disedari oleh Firáun, ternyata kekejaman Firáun tidak berjaya mengatasi rasa kasih dan sayangnya pada seorang kanak-kanak yang telah membesar dalam istananya, walaupun itu bukan anaknya sendiri. Apa yang dilakukan oleh Firáun demi menunjukkan ketegasannya hanyalah menempatkan kanak-kanak itu (Nabi Musa) di sebuah rumah yang dibina di sebelah istananya. Begitulah tewasnya sifat angkuh seorang raja pada sifat kasihnya.

Cerminlah dengan biasan iman, akal dan budi, adakah masyarakat kita sudah menjadi lebih zalim dari Firáun. Renungkan dengan mata hati, adakah kita menuju hidup yang lebih bertamadun atau sebaliknya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia tidak akan terhenti di sini. Kita bakal menghadapi Hari Pembalasan atas tiap perkara yang kita lakukan. Bertemulah semula si anak dengan si ibu demi menuntut keadilan buat dirinya di hadapan Allah Maha Adil. Semoga kita terhindar dari bencana yang sebenar itu.


Friday, February 19, 2010

Jangan Menghina Hukum Allah...



Memang amat keterlaluan kenyataan akhbar Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) Hamidah Marican terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam yang disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram. Saya melihat tindakannya membantah pelaksanaan hukuman itu dengan alasan bahawa "ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan" dan "tidak efektif" sangat melampau dan merupakan satu penghinaan terhadap undang-undang Islam. Selain dari beliau, Presiden Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Sofia Lim Siu Ching dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan turut 'tumpang semangkuk' mengkritik hukuman tersebut. Entah mana perginya manusia-manusia yang sanggup bertegang urat mempertahankan perarakan Maulidul Rasul, tak berbunyi pulak bila hukum Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dihina oleh makhluk-makhluk yang jahil.

Dalam surah An-Nur ayat 2 Alllah SWT berfirman;

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Cukuplah ayat ini menjelaskan betapa hukuman rotan ke atas penzina itu merupakan ketetapan Allah SWT yang qat'íe. Sebagai manusia yang seluruh jasad, roh, pemikiran, intelek dan ilmunya dipinjam dari Tuhannya, layakkkah kita berkata bahawa hukum ketetapan Allah itu sesuatu yang kuno, zalim dan tidak efisyen? Tersesatlah kalau kita fikir kita berkelayakan.

Penghinaan seumpama ini lebih-lebih lagi oleh seorang manusia yang mengaku Islam sangat keterlaluan. Barangkali kalau Saiyidina Umar r.a. masih hidup, telah terpisah kepala manusia itu dari jasadnya. Insaflah dan bersederhanalah dalam memberi pandangan. Ingatlah, dunia ini hanya tempat tumpangan buat sementara, akhiratlah tempat yang kekal selama-lamanya. Kesakitan di dunia ini amatlah sedikit berbanding seksaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita semua terhindar darinya.

Thursday, January 28, 2010

Buat YB Zul dan YB Khalid...




Salam YB yang dikasihi,


Saya sebagai marhaien yang kerdil berdoa kepada Allah SWT semoga perjuangan Islam akan terus hidup subur di bumi Malaysia.

Berhubung dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, saya amat berharap perbezaan pendapat antara YB Zulkifli dan YB Khalid dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Oleh kerana tiada nas yang jelas menghalang penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, bukanlah sesuatu yang menjejaskan akidah jika kita 'memberi izin' untuk orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Walau bagaimanapun, sememangnya terdapat kemungkinan besar pihak Kristian akan menyalahgunakan kalimah Allah bagi tujuan mengelirukan umat Islam. Kedua-dua pandangan pro dan kontra terhadap isu tersebut mempunyai asas dan hujah, dan masing-masing banyak bergantung pada hukum akal dan keadaan semasa. Saya yakin YB berdua lebih memahami isu ini berbanding saya. Justeru semangat musyawarah seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin wajar dijadikan panduan dan teladan dalam menangani perbezaan pendapat. Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan yang terbaik. Sikap berlapang dada, menghormati dan meraikan pendapat yang berbeza seperti yang diamalkan oleh Imam-Imam Mazhab dan ulama' silam juga wajar dicontohi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" (Surah Ali Imran , ayat 159)

Harap YB berdua dapat menerima kata-kata saya sepertimana Khalifah Umar dapat menerima teguran dari seorang wanita tua. Saya melihat 'perang' melalui media antara YB Zulkifli dan YB Khalid hanya akan meruntuhkan kredibiliti YB berdua di mata rakyat. Keegoan yang membawa kepada persengketaan dan perpecahan hanya merugikan umat Islam dan menguntungkan musuh Islam. Berdamailah, atas dasar kasih kita kepada Allah SWT dan agamaNya, pasti ada jalan dan kaedah yang lebih indah dalam menangani masalah ini. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar...

* komen ini telah dihantar kepada YB-YB yang dikasihi melalui blog.


Wednesday, September 9, 2009

Perangkap Propaganda Yahudi & Kristian

Setelah dilihat berjaya memecahbelahkan umat Islam di Timur Tengah, nampak gayanya puak-puak Yahudi & Kristian mula menggandakan asakan ke Asia Tenggara, tempat dimana tetapnya kelompok Melayu yang telah berkurun lamanya menerima Islam sebagai agama. Dengan berbekalkan dominasi media, propaganda terus disogok agar rumpun Melayu yang hanya dipisahkan oleh sempadan negara, bercakaran sesama sendiri, merebut warisan kebudayaan yang tiada harganya disisi Tuhan. Adakah kita akan tertewas lagi? Tidakkah kita belajar dari perang Iran dan Iraq? Terlupakah kita pada Perang Teluk? Dan sekarang kita menjadi sasaran mereka dengan matlamat melumpuhkan kekuatan Islam.

Maksud firman Allah Taála dalam surah Al-Hujraat ayat 6;

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Allah Taála menjelaskan lagi dalam surah yang sama ayat 13;

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Banyak lagi hak yang perlu kita perjuangkan. Banyak lagi kebenaran yang perlu kita tegakkan. Banyak lagi musuh yang perlu kita tewaskan.

Wednesday, April 29, 2009

Keputusan Kabinet...Bagai Api Dalam Sekam...

24 April 2009, aku terbaca berita pasal keputusan kabinet bahawa anak dibawah umur kekal agama asal ibu bapanya walaupun salah seorang menganut Islam. Aku tak pasti macam mana pandangan orang lain pada perkara nie tp bagi aku it is a disaster...link

Berdasarkan pembacaan aku, keputusan nie dibuat berdasarkan keputusan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dianggotai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, Menteri di JPM Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk selesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.


Sebagai orang yang tak punya latar belakang undang2 sivil & syar'ie, tak payah la aku nak ulas isu nie secara teknikal, serahkan pada yang pakar...cuma sebagai seorang muslim aku sangat bimbang dengan status anak yang ibubapa diorang masuk Islam. Setakat nie ada dua isu aku nak kongsikan.


Yang pertamanya, kalau kedua-dua ibubapa masuk Islam, kenapa anak dia kena kekal bukan Islam. Sabda Nabi s.a.w : “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jadi secara tak langsung keputusan tersebut menafikan hak ibubapa untuk menentukan agama anak yang diperuntukkan oleh Islam.


Yang kedua, setakat yang aku tau, definisi bawah umur dalam konteks negara kita nie ialah bawah 18 tahun, so timbul satu tandatanya, apa status agama seseorang anak yang ibubapa atau salah seorang dah revert kepada Islam, dah aqil baligh ( biasanya sekitar 12-15 tahun) tapi belum sampai 18 tahun, dididik & hidup sebagai seorang Muslim...hakikatnya dia Islam, tapi keputusan kabinet nie bakal jadi api dalam sekam untuk digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menafikan status Islam kanak2 tersebut, lebih membimbangkan lagi kalau dia meninggal dunia sebelum capai umur 18 tahun, bagaimana kalau ada pertikaian untuk uruskan jenazah dia, adakah rujuk agama asal juga? Na'uzubillahi min zalik....


Harapan aku semua individu & organisasi yang berwenang dapat buat sesuatu...kita masih punya masa untuk reverse keputusan nie...jangan sampai dah parah nanti baru kita nak bertindak...semoga kita semua beroleh keampunan....Amin...

Wednesday, March 18, 2009

Apa Ertinya Saya Menganut Islam?


Buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" karangan Fathi Yakan nie aku baca masa kat UIA dulu...dah lama dah...tapi tetiba rasa relevan utk aku kaitkan dgn post aku ni... Puas aku elakkan diri utk komen pasal perkembangan politik kat Malaysia sekarang nie tapi...entahlah...walaupun sedar suara marhaien mcm aku nie tak kan sampai ke mana, aku masih rasa nak bersuara...

Secara ringkasnye...buku ni berikan point yang ringkas tapi tuntas...sebagai seorang Muslim, kita wajib mempunyai Aqidah seorang Muslim, Ibadah seorang Muslim dan Akhlak seorang Muslim. Berbekalkan tiga kunci itulah baru terzahir imej Islam pada diri kita. Sebaliknya, kalau kita cuma fokus pada imej, nak dilihat sebagai seorang Muslim, tanpa mendokong ketiga-tiga kunci tu, kita mungkin mempunyai split-personality, zahirnya Islam...hakikatnya...Wallahu a'lam...

Sama ada kita perasan atau tidak, perjuangan untuk menjadikan negara kita nie sebagai Negara Islam dah berlangsung selama 57 tahun. Dan sama ada kita sedar atau tidak selama 57 tahun itulah halangan utama terhadap matlamat ini adalah orang Melayu yang diiktiraf Islam oleh Perlembagaan. Ternyata kita terperangkap bawah dasar pecah dan perintah penjajah sehingga kita kerapkali taksub dalam berjuang demi bangsa sehingga mengabaikan perjuangan agama. Ternyata kita termakan "momokan anti-Hudud" oleh golongan bangsawan yang berkepentingan. Siapalah kita nak mempertikaikan hukum Allah, apalah daya akal kita nak menjangkau Ilmu Allah...aqidah seorang Muslim seharusnya punya keyakinan yang total, 100% terhadap segala ketetapan Allah SWT.















Fikir.....

Renungi diri ini dalam cermin tafakur...bukankah Tuhan itu Maha sempurna...
Insafi diri ini dengan bersyukur...tanpa rahmatNya, kita tiada...
Siapa kita untuk menderhaka...sedangkan kita tiada saham untuknya...
Siapa kita untuk terus kufur...sedangkan Tuhan murah nikmatNya...
Namun masih ada yang leka...seakan mencabar Yang Maha Kuasa....
Tidakkah kita gerun Neraka...Azabnya tak tertanggung oleh kita yang lemah...
Betapa beruntung orang yang bertakwa...
Mari bersama mengenal diri...semoga dapat menginsafi...
Menjadi hamba yang berperibadi...mudah-mudahan selamat di Titian Sirat...
Buat mereka yang mahu berfikir.....