Monday, May 3, 2010

Lebih Zalim Dari Firáun



Kes-kes pembunuhan dan pembuangan bayi kembali mendapat perhatian media, secara tak langsung mengingatkan kita bahawa isu pembuangan bayi masih belum selesai dan tak pernah berhenti berlaku. Memang amat menyedihkan melihat keadaan bayi-bayi yang masih suci tak berdosa dibunuh dengan kejam lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang mengaku Muslim. Entah mana letaknya iman pada masa pembunuhan dan pembuangan dilakukan sehingga tergamak untuk bertindak sekejam itu.

Cuba kita hayati kisah Firáun ketika dia mendapat tafsiran mimpi oleh ahli nujum bahawa kuasa pemerintahan negara Mesir akan jatuh ke tangan seorang pemuda Bani Israel, maka diarahkan seluruh kekuatan tentera bagi mengeledah rumah di seluruh pelosok Mesir untuk mencari dan membunuh semua bayi lelaki Bani Israel. Itulah antara episod kekejaman Firáun yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam kalamNya Yang Agung. Pada ketika itulah, seorang ibu dengan linangan air mata dan tawakkal yang tinggi, menghanyutkan bayi lelakinya mengikut arus Sungai Nil demi menyelamatkan nyawanya dari direnggut kerakusan tentera Firáun. Dengan takdir Allah SWT mengatasi segalanya, bayi yang dihanyutkan bukan sahaja selamat malah telah berjaya untuk membesar dalam istana Firáun sendiri. Namun apabila kehadiran bayi lelaki itu disedari oleh Firáun, ternyata kekejaman Firáun tidak berjaya mengatasi rasa kasih dan sayangnya pada seorang kanak-kanak yang telah membesar dalam istananya, walaupun itu bukan anaknya sendiri. Apa yang dilakukan oleh Firáun demi menunjukkan ketegasannya hanyalah menempatkan kanak-kanak itu (Nabi Musa) di sebuah rumah yang dibina di sebelah istananya. Begitulah tewasnya sifat angkuh seorang raja pada sifat kasihnya.

Cerminlah dengan biasan iman, akal dan budi, adakah masyarakat kita sudah menjadi lebih zalim dari Firáun. Renungkan dengan mata hati, adakah kita menuju hidup yang lebih bertamadun atau sebaliknya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia tidak akan terhenti di sini. Kita bakal menghadapi Hari Pembalasan atas tiap perkara yang kita lakukan. Bertemulah semula si anak dengan si ibu demi menuntut keadilan buat dirinya di hadapan Allah Maha Adil. Semoga kita terhindar dari bencana yang sebenar itu.