Sunday, September 19, 2010

Airmata Nur Salina


Alhamdulillah...cuti raya 11 hari berjaya dimanfaatkan dengan sempurna. Selesai semua misi dan visi, tercapat semua matlamat dan hasrat....alhamdulillah. Esok, everything is back to normal, harap-harapnye tak la aku terbawa-bawa kesantaian cuti nanti...

Malam semalam, sekitar pukul 10, sedang aku termenung-menung melayan kelopak mata yang makin memberat, tertengok pulak satu telemovie yang sangat menyentuh hati. Cerita arahan Erma Fatima yang dibintangi Remy Ishak dan Datin Paduka Umi Aida betul-betul berkesan. Tahniah aku ucapkan. Gaya lakonan yang mantap, jalan cerita yang realistik dan skrip yang teliti menjadikan setiap perjalanan cerita tu aku ikuti dengan penuh perhatian, hilang rasa mengantuk...

Sebenarnya aku sangat terkesan dengan mesej yang dibawa dalam cerita tu. Kisah seorang remaja perempuan yang 'mabuk cinta' sampai sanggup membelakangkan agama dan keluarga. Mungkin ada yang fikir ia kisah biasa yang ditonjolkan kebanyakan drama dan filem, tapi bagi aku Airmata Nur Salina punya kelainan dalam setiap babak yang dipertontonkan. Ia memberikan justifikasi yang sebenar, bagaimana cinta yang diperjuangkan tanpa berlandaskan agama dan restu ibubapa bisa meletakkan seorang wanita dalam penyesalan sepanjang hayat.




Cinta Salina yang 'luhur dan murni' terhadap Afka yang dihalang ibubapanya ekoran 'ketelanjuran'nya membuatkan dia merasakan telah dinafikan hak untuk beroleh kebahagiaan hidup. Akal singkatnya membawa Salina mengejar 'kebahagiaan' impiannya. Atas dasar cinta yang menggunung, Salina hilang rasionalnya dan membutakan mata terhadap kekurangan lelaki pilihannya yang nyata lemah rohani dan miskin jati diri. Kepercayaan dan cintanya jugalah yang mengheret Salina hingga ke tali gantung.



Sebagai lelaki, aku akui watak Afka lakonan Remy Ishak merupakan cerminan kepada rapuhnya cinta dan dangkalnya otak lelaki tanpa suluhan cahaya iman. Dia boleh jadi seorang suami dan bapa yang pengasih dan penyayang dan dia juga boleh jadi makhluk perosak yang menjahanamkan keluarga. Pokok pangkalnya ialah kesedaran tentang tanggungjawab rohani dan jasmani kepada keluarga.



Afka punya keazaman untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik atau lebih tepat untuk menjadi seorang hambaNya yang baik, namun pasti, ia bukanlah semudah menekan suis on/off. Mujahadah melawan hasutan syaitan dan nafsu berlangsung setiap saat. Setiap orang menghadapi cabaran yang berbeza, bergantung pada kekuatan pegangan pada agama, bi'ah (persekitaran) dan sejauh mana seseorang itu bersedia untuk diuji. Bagi Afka, Leman merupakan ujian yang melumpuhkan sistem pertahanannya. Afka terjebak dalam kancah judi yang menjadi punca kehancuran kerjaya dan keluarganya. Malah, Salina turut menjadi taruhan kegilaannya terhadap judi.



Kenapa agaknya aku sangat menghargai karya seni ni. Mungkin kerana aku acapkali mendapat tahu dan diberitahu tentang ketaksuban terhadap cinta sesama makhluk hingga gagal berpegang pada rasional dan petunjuk Ilahi. Nasihat, pandangan, pendapat dan teguran orang berilmu dan orang-orang tua yang dah banyak 'makan garam' dikuis ketepi dan dianggap kolot dan kurang memahami. Mereka hanya melihat yang indah-indah dalam gerbang perkahwinan dengan pasangan idaman, namun gagal memahami bahawa hakikat perkahwinan penuh kebertanggungjawaban. Mereka lupa untuk buat penilaian adakah pasangan idaman mampu menggalas tugas-tugas yang diharapkan.

Buat yang belum, masih punya masa untuk buat keputusan. Buat yang dah terlajak, pasti ada laluan untuk kembali ke pengkalan. Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang membawa kebahagiaan yang berkekalan.