Al-Quran Al-Karim, Surah Al-Baqarah, ayat 183;
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Al-Quran Al-Karim, Surah Al-Baqarah, ayat 185;
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
Maha Benarlah Kalam Allah Yang Maha Agung...
Jalan yang aku selusuri ini hampir sampai ke penghujung...
Telah dilalui detik rahmat dan maghfirah yang menggunung...
Meniti liku-liku dosa menggapai sinar petunjuk Yang Maha Agung...
Memohon perlindungan dari azab seksa yang pastinya tidak tertanggung...
Aku sambut panggilan Mu Ya Tuhan,
Dengan upaya mengatasi ujian dan kelemahan....
Aku takut menjelang Hari Pembalasan,
Meniti Sirat dengan dosa dan cela terbeban...
Ramadhan ini bakal melambai pergi...
Bersama Ganjaran, Rahmat dan Maghfirah Ilahi...
Tiada yang pasti pertemuan di lain kali...
Apakah hadir Takwa & Syukur dihati...