
Setakat ini, tidak kurang daripada 22 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok melibatkan lobi hotel, ruang pejabat berhawa dingin, pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan (kecuali kawasan yang dikhaskan), lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan, institusi pendidikan tinggi, tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium, stesen minyak, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan serta kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain. Dari apa yang aku perhatikan, pelaksanaan zon larangan merokok agak kurang diberi perhatian terutamanya di sekolah, tempat makan, lif, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam malah di pusat asuhan kanak-kanak.
Sebagai orang dewasa, aku rasa para perokok cukup matang dalam menentukan keadaan dan tempat yang sesuai untuk merokok agar tidak melibatkan orang lain dalam 'upacara' tu, kerana prinsipnya adalah mudah, asap rokok tu seharusnya tidak masuk ke paru-paru orang lain. Dari pengalaman peribadi aku sendiri, kerapkali aku terperangkap dengan insiden dikelilingi oleh beberapa perokok yang tanpa rasa bersalah menghembus asap rokok semasa berbual. Yang lebih mengharukan ada juga yang sudi nak mendukung anak dengan rokok berasap di tangan.
Para perokok seharusnya telah sangat sedar tentang bahaya merokok seperti yang dah diwar-warkan berdasarkan kajian dan pengalaman. Jika seseorang memilih untuk merokok bermakna dia turut memilih untuk mengambil risiko merokok. Oleh kerana pilihan itu adalah pilihan peribadi, maka risikonya juga perlulah diambil secara peribadi tanpa melibatkan orang lain. Para perokok perlu lebih sensitif terhadap persekitaran terutamanya terhadap wanita mengandung dan kanak-kanak. Para perokok juga pastinya tak suka ditegur secara peribadi terutamanya dikhalayak ramai. Oleh itu, jadilah warga yang bertanggungjawab.