Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Thursday, September 2, 2010

Tinggal 7 Hari...





Tinggal 7 hari lagi puasa, Ramadhan yang cemerlang untuk Muaz & Anas. Setakat ni Muaz dah berjaya puasa penuh sebanyak 15 hari & Anas 14 hari...tahniah untuk  buah hati ayah. Fiza pulak terpaksa melalui Ramadhan ni dengan 'mabuk & loya', berat badan pun dah susut beberapa kilo sebab tak lalu makan masa buka & sahur. Kesian, nampak lemah sangat dia menahan mabuk... So untuk memudahkan Fiza, aku biarkan dia decide menu untuk buka & sahur, supaya kena dengan selera dia, sekurang-kurangnya berisi juga perut dia. Hmm...Itulah sebahagian dari pengorbanan seorang ibu...

7 hari lagi, bulan "Rahmah & Maghfirah" ni bakal meninggalkan kita, memberi kita 354 hari lagi untuk ketibaannya semula, entahkan dapat entahkan tidak. Mengukur diri sendiri, masih banyak yang sepatutnya aku lakukan untuk menghampirkan diri pada fitrah, masih kurang usaha untuk meningkatkan taqwa, masih kurang bersyukur pada hikmah Ramadhan yang Allah SWT kurniakan. Betul kata Ust. Arif Jasiman, kadang-kadang kita seolah-olah sombong dengan Tuhan, 30 hari diberi peluang untuk mengejar pahala yang berganda-ganda, untuk menghapus dosa dibawah maghfirahNya, tapi kita buat 'dek....aje'. Dah dikhabarkan wujudnya 1 malam yang lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun 4 bulan), tapi kita tak usaha untuk mendapatkannya... Sama-samalah kita usaha, sekurang-kurangnya kita mampu menjadi Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari jurang Neraka-Nya dan memilih kita untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan.



Thursday, August 12, 2010

Salam Ramadhan 1431



Alhamdulillah...masih diberi kesempatan menempuh Ramadhan, masih diberi peluang menambah pahala, masih diberi ruang mencuci onar dosa. Kesempatan yang amat besar maknanya, yang mampu menarik insan keluar dari jurang neraka...

Agak lama juga aku meninggalkan blog nie sepi dari sebarang entri baru, bukan blog nie aje malah FB pun lama tak berjenguk...setelah tiga bulan memegang amanah, akhirnya berjaya juga aku selesaikan misi penanggungan kerja yang amat mencabar itu...alhamdulillah...pengalaman yang sangat baik untuk mematang diri dalam membuat keputusan...

Bermulalah pesta ibadah di masjid-masjid. Alhamdulillah, nampak kehadiran untuk solat tarawih amat membanggakan. Seronok pulak rasanya...harapnya bilangan tak berkurang banyak sangat menjelang akhir Ramadhan nanti...

Bila tengok ramainya manusia kat masjid ni, teringat masa  bulan puasa di universiti dulu...memang seronok kalau berbuka di masjid. Lebih kurang pukul 6.30 petang, biasanya ramai yang dah menunggu kehadiran van yang bawak makanan...entah siapa yang sedekah...wallahu a'lam. Yang pasti aku & kawan-kawan biasanya dapat tapau dua bekas polystyrene, satu untuk buka & satu untuk sahur...jimat...jimat.. Biasalah budak lelaki memang selalu berkira sikit bab makan ni...duit banyak habis untuk upgrade komputer & beli prepaid...heheheh...



Tarawih berjemaah kat masjid UIA memang best. Semua imam adalah dari golongan huffaz dan punya alunan bacaan yang sangat menyentuh hati walaupun buat yang tak faham bahasa arab (aku la tu...). Satu malam satu juzuk, tapi tak terasa lamanya...telinga akan sentiasa tertarik untuk mengikuti bacaan imam...boleh menitis air mata dibuatnya....


Sepanjang hidup di UIA aku dapat tengok sendiri macam mana kepelbagaian mazhab disatukan dalam satu program ibadah. Semua bebas mendengar hujah daripada mazhab-mazhab yang berbeza dan setiap orang bebas untuk buat penilaian berdasarkan dalil dan nas yang dirujuk... Tapi sebagai orang yang kurang arif berkenaan usul fiqh, biasanya aku lebih cenderung untuk tetap dengan apa yang aku belajar masa di sekolah agama dulu...

Itulah yang dinamakan kenangan...dan kenangan itulah yang dah banyak mendidik diri untuk menjadi manusia yang lebih bersyukur. Semoga jiwa ini terus terdidik dan menerima tarbiyyah untuk mampu berdiri dengan sejahtera di hadapan Pencipta nanti....Amin.

Monday, September 7, 2009

Ramadhan 1430H : Separuh Masa Kedua....

Hari ini Ramadhan dah menginjak hari ke 17 - Hari Nuzul Qur'an, hanya tinggal 13 hari lagi menjelang Aidilfitri. Rata-rata orang kita dah mula hangat-hangatkan oven & kuali besar, buat biskut raya, kerepek & rempeyek. Aku & Fiza, macam tahun-tahun sebelum ni, memang xde mood sangat nak join aktiviti "menguli & menerap" ni, awal-awal lagi dah mendaftarkan diri dalam 'kuih tunjuk order-sheet' kat ofis. Baju Melayu aku & budak berdua tu pun dah siap, T-Shirt & kasut raya diorang pun dah Fiza settlekan. Pendek kata persiapan raya dah 80% selesai...alhamdulillah...

Melalui hari-hari menjelang akhir Ramadhan, harapnye kelibat manusia kat surau & masjid tak berkurangan berbanding separuh masa pertama. Takut bila sibuk dan disibukkan dengan persiapan raya atau keletihan meronda di shopping-mall & bazaar, tertewas pulak kita sampai tak dapat nak meneruskan perjuangan merebut hikmah Ramadhan. Lagi la dah nak sampai 10 hari terakhir ni, bagi orang-orang yang 'gagah' dalam perjuangan, ini lah masanya nak berhabis-habisan dengan ibadah. Ada sesetengah masjid & surau yang buat program Qiamullail yang diisi dengan tadarus, solat sunat & iktikaf. Ada juga yang buat secara bersendirian di rumah. Ya Allah, semoga kita semua di antara mereka yang diberi 'kegagahan' itu....amin.

Thursday, August 27, 2009

Salam Ramadhan 1430 Hijriyyah

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat sahabat-sahabat pembaca. Mungkin ucapan ni agak terlambat sebab kita telah pun mengharungi hari ke-6 berpuasa, tapi harapnye belum terlalu lewat untuk aku berkongsi minda dan cerita untuk renungan dan penghayatan bersama.

1430H, masuk tahun ke-5 aku menyambut Ramadhan sebagai seorang suami, sekaligus tahun ke-4 sebagai seorang bapa. Saban tahun, Ramadhan datang dan pergi dan aku masih di sini sebagai seorang manusia yang masih diberi kesempatan untuk menimba barakah, rahmah dan maghfirah yang melimpah ruah. Alhamdulillah....syukur, namun akan tiba satu ketika kesempatan tidak lagi menyebelahi aku. Kerapkali aku membuka Ramadhan dengan tekad memperbaiki kualiti muslim dan mu'min dalam diri, dan kerapkali juga ruang dan peluang tidak aku manfaatkan sebaiknya. Pada usia yang mencecah 30, teringat pada sabda Nabi SAW, "Siapa saja yang mencapai umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatannya bersiap-siaplah untuk ke Neraka". Naúzubillah...

Tanggungjawab yang digalas menyedarkan lagi betapa aku harus segera bangkit bukan sekadar untuk memperbaiki diri sendiri, tapi untuk memimpin semua yang dibawah tanggungan untuk benar-benar menghayati Ihya' Ramadhan. Pesan seorang sahabat/ustazah dalam blognya membuat hati aku tersentak, "...melatih anak berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu adalah melatih nafsu untuk tunduk patuh kepada arahan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Mengawal keinginan diri untuk bertindak berpandukan syariatNya. Itulah hikmah TAQWA yang harus dititikberatkan dalam pendidikan berpuasa anak-anak, sejak mereka kecil lagi...".

Tahun ini Muaz dan Anas mula belajar berpuasa, tahun ini aku akan gandakan usaha. Semoga Allah SWT memilih aku untuk menghiasi Ramadhan ini lebih dari apa yang pernah aku lakukan sebelum ini....Amin.