Wednesday, February 3, 2010

Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain?

Alhamdulillah, aku baru khatam buku pemberian isteri tercinta, Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz ni, setinggi-tinggi tahniah diucapkan buat beliau atas usaha dan komitmen yang tinggi untuk mengupas sejarah demi membahaskan kekeliruan tentang siapa sebenarnya Zulqarnain, pahlawan yang dimuliakan Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi.

Dalam Surah Al-Kahfi ayat 83 hingga 99 Allah SWT berfirman;

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. (83) Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (84) Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). (85) Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka. (86) Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (87) Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati. (88) Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain. (89) Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. (90) Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. (91) kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain. (92) Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. (93) Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka? (94) Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (95) Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya. (96) Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (97) (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar. (98) Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar. (99)" Maha Benarlah Kata-Kata Allah Yang Maha Besar.

Perbahasan utama buku ini adalah berkisar pada menafikan sandaran Zulqarnain diberikan kepada Alexander The Great, putera kepada Raja Macedonia, Philip II. Dalam masa yang sama juga, berdasarkan fakta daripada tokoh-tokoh sejarah serta kajian terhadap pelbagai buku-buku termasuk rujukan lain-lain agama samawi, penulis cuba mengenengahkan putera Raja Parsi bernama Raja Kurush (Cyrus The Great) sebagai individu yang lebih layak dan logik untuk dikaitkan dengan Zulqarnain. Dokumentari berkenaan kajian yang telah dijalankan juga pernah disiarkan di Astro Oasis.

Apa menarik ialah kaedah penceritaan dan perbahasan yang dimulakan dengan pengenalan terhadap penyebaran bangsa-bangsa tertua dalam sejarah manusia yang melibatkan rantaian dan hubungan antara Nabi-Nabi dari zaman Nabi Adam a.s. hinggalah kepada zaman Nabi Uzair a.s. yang hidup dalam era pemerintahan Raja Kurush. Digambarkan sebagai seorang raja yang disayangi dan berakhlak mulia walaupun terhadap musuh, Raja Kurush yang hidup antara 576 hingga 530 sebelum masihi adalah berbeza dengan watak penakluk yang rakus Alexander The Great. Raja Kurush juga dikatakan menganut agama samawi tua iaitu agama Zarathustra yang diambil sempena nama Nabi Zarathustra. Penulis juga secara teliti berhujah tentang 4 ciri-ciri Zulqarnain yang disebut dalam Al-Quran iaitu perjalanannya ke arah barat, menerima wahyu dari Allah SWT, perjalanan ke arah timur dan membina tembok menghalang Yakjuj dan Makjuj.

Merujuk kaum Scythian di Selatan Rusia sebagai bangsa Yakjuj dan Makjuj dan orang Georgia dan Armenia sebagai golongan yang meminta pertolongan, penulis juga berhujah tentang kedudukan sebenar tembok pemisah yang dibina Zulqarnain yang dikatakan terletak di Banjaran Kaukasus, ditengah-tengah daratan antara Laut Hitam dan Laut Kaspia.




Mengetahui sesuatu yang baru adalah menarik. Menginsafi sesuatu kesilapan adalah rahmat. Berdasarkan fakta dan hujah yang dikemukakan, penulis mempunyai asas yang kuat untuk mempercayai dan mempertahankan kenyataannya. Sememangnya penulisan sejarah tidak akan terhenti kerana bukti dan penemuan baru bakal merungkai peristiwa sebenar.

Thursday, January 28, 2010

Buat YB Zul dan YB Khalid...




Salam YB yang dikasihi,


Saya sebagai marhaien yang kerdil berdoa kepada Allah SWT semoga perjuangan Islam akan terus hidup subur di bumi Malaysia.

Berhubung dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian, saya amat berharap perbezaan pendapat antara YB Zulkifli dan YB Khalid dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Oleh kerana tiada nas yang jelas menghalang penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, bukanlah sesuatu yang menjejaskan akidah jika kita 'memberi izin' untuk orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Walau bagaimanapun, sememangnya terdapat kemungkinan besar pihak Kristian akan menyalahgunakan kalimah Allah bagi tujuan mengelirukan umat Islam. Kedua-dua pandangan pro dan kontra terhadap isu tersebut mempunyai asas dan hujah, dan masing-masing banyak bergantung pada hukum akal dan keadaan semasa. Saya yakin YB berdua lebih memahami isu ini berbanding saya. Justeru semangat musyawarah seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin wajar dijadikan panduan dan teladan dalam menangani perbezaan pendapat. Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan yang terbaik. Sikap berlapang dada, menghormati dan meraikan pendapat yang berbeza seperti yang diamalkan oleh Imam-Imam Mazhab dan ulama' silam juga wajar dicontohi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" (Surah Ali Imran , ayat 159)

Harap YB berdua dapat menerima kata-kata saya sepertimana Khalifah Umar dapat menerima teguran dari seorang wanita tua. Saya melihat 'perang' melalui media antara YB Zulkifli dan YB Khalid hanya akan meruntuhkan kredibiliti YB berdua di mata rakyat. Keegoan yang membawa kepada persengketaan dan perpecahan hanya merugikan umat Islam dan menguntungkan musuh Islam. Berdamailah, atas dasar kasih kita kepada Allah SWT dan agamaNya, pasti ada jalan dan kaedah yang lebih indah dalam menangani masalah ini. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar...

* komen ini telah dihantar kepada YB-YB yang dikasihi melalui blog.


Wednesday, January 20, 2010

Berbaloi ke?


Berbaloi ke?
’Bawak mulut’ sini sana,
Cerita yang takde direka-reka,
Kerana kita orang bersengketa,
Pulangan yang dapat cuma seketika....


Berbaloi ke?
Merayap-rayap waktu kerja,
In-tray bertimbun buat tak tau aje,
Cukup bulan gaji terima,
Bagi makan satu keluarga…




Berbaloi ke?
Pakai baju aurat terbuka,
Pakai tudung macam tak ada,
Semua tengok cantik katanya,
Hati bangga berbunga-bunga...



Berbaloi ke?
Rasa nak kaya tak kira macam mana,
Halal haram belakang cerita,
Untung $ itu pokoknya,
Sapu aje mana yang ada...


Berbaloi ke?
Isteri ada tak cantik dimata,
Cari yang lain buat ’suka-suka’,
Pandai makan pandai la cover,
Depan isteri ”baiknye dia”....

Monday, January 11, 2010

Demi Matahari



Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah


Album : Di Pintu Langit
Munsyid : Snada
Cipt. : M. Lukman Nunasyim

Wednesday, January 6, 2010

Mereka Terus Ketawa........




Mereka terus ketawa, Melihat kita berlaga-laga,
Mereka terus ketawa, Melihat kita saling mengata,
Mereka terus ketawa, Melihat kita saling membinasa,
Mereka terus ketawa, Melihat kita putus saudara,
Mereka terus ketawa, Rancangan mereka telah berjaya...


Kita terus merana, Taksub buta menjadi punca,
Kita terus merana, Kawan dan lawan tak tahu beza,
Kita terus merana, Matlamat perjuangan semakin dilupa,
Kita terus merana, Al-Quran & Sunnah sekadar baca,
Kita terus merana, Islam dipegangan terus dihina...


Usah ditangis pada yang pergi, ganjaran Allah SWT menanti,
Usah diselisih beza seinci, Al-Quran dan Sunnah digali cari,
Usah ditarung kuasa di bumi, matlamat akhirat kekal abadi,
Usah dipisah Islam dan negeri, kalimah syahadah penyatu hati,
Usah dirisau datangnya mati, ajal maut urusan Ilahi...