Friday, August 14, 2009

Perginya Seorang Pejuang : Allahyarham Ust. Asri Ibrahim

Al-Fatihah. Tanggal 13 Ogos 2009 menyaksikan perginya sebutir bintang yang telah sekian lama menyinari persada perjuangan nasyid, Allahyarham Ustaz Asri bin Ibrahim. Mesra dengan gelaran Ust. Asri, beliau merupakan salah seorang 'sifu' yang bertanggungjawab memartabatkan nasyid sebagai wadah dakwah dan perjuangan disamping memberi alternatif hiburan kepada masyarakat.


Secara peribadi, saya mula meminati beliau sekitar tahun 1994 melalui album Munajat (Nadamurni). Itu jugalah merupakan detik terpautnya hati saya pada irama nasyid. Lagu-lagu seperti Munajat, Nun Di Sana Cita-Cita Kita, Sunnah Berjuang, Sifat 20, Marilah Berkasih Sayang dan Bila Nur Melimpah Dihati adalah antara lagu-lagu dendangan beliau yang tak pernah lenyap dari ingatan saya, malah lagu Sunnah Berjuang jugalah yang membawa saya menjadi seorang penasyid pada hari ini.


Peluang mengenali beliau secara dekat melalui beberapa persembahan bersama merupakan kenangan yang sangat menggembirakan. Antara persembahan bersama yang masih segar dalam ingatan adalah Malam Gemilang Seni Dijulang di Pusat Matrikulasi UIA, Malam Kebudayaan Islam di UM dan konsert sempena Konvokesyen UIA. Gema suara beliau yang lunak seakan terngiang-ngiang di telinga. Subhanallah...merdu yang amat.


Walaupun hanya beberapa kali bertemu, saya dapat merasakan keramahan dan tawadhuknya beliau sehinggakan kita tidak rasa janggal untuk berurusan mahupun untuk berbual santai. Takziah saya untuk seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah mencucuri Rahmat, Maghfirah dan Kasih SayangNya ke atas Allahyarham.

Thursday, July 30, 2009

Zon Larangan Merokok : Di Mana Sensitiviti Kita?

Dah lama jugak aku berniat nak tulis pasal rokok ni, tapi bila mengenangkan kawan-kawan yang masih lagi terbelenggu dengan rokok, rasa tak sampai hati. Tapi lepas difikir-fikirkan, ada baiknya aku teruskan kerana niat aku hanya untuk berkongsi rasa dan minda. Aku bukan la ustaz yang nak cerita pasal hukum merokok, kaedah istinbat hukum merokok dan perbezaan pendapat ulama tentang hukum merokok. Aku pun bukannya doktor yang pandai nak mengupas tentang bahayanya rokok dan unsur-unsur dalam rokok tu kepada manusia. Tapi sebagai orang awam, aku rasa bertanggungjawab untuk menyeru para perokok semua supaya lebih sensitif terhadap zon larangan merokok.


Setakat ini, tidak kurang daripada 22 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok melibatkan lobi hotel, ruang pejabat berhawa dingin, pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan (kecuali kawasan yang dikhaskan), lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan, institusi pendidikan tinggi, tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium, stesen minyak, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan serta kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain. Dari apa yang aku perhatikan, pelaksanaan zon larangan merokok agak kurang diberi perhatian terutamanya di sekolah, tempat makan, lif, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam malah di pusat asuhan kanak-kanak.


Sebagai orang dewasa, aku rasa para perokok cukup matang dalam menentukan keadaan dan tempat yang sesuai untuk merokok agar tidak melibatkan orang lain dalam 'upacara' tu, kerana prinsipnya adalah mudah, asap rokok tu seharusnya tidak masuk ke paru-paru orang lain. Dari pengalaman peribadi aku sendiri, kerapkali aku terperangkap dengan insiden dikelilingi oleh beberapa perokok yang tanpa rasa bersalah menghembus asap rokok semasa berbual. Yang lebih mengharukan ada juga yang sudi nak mendukung anak dengan rokok berasap di tangan.


Para perokok seharusnya telah sangat sedar tentang bahaya merokok seperti yang dah diwar-warkan berdasarkan kajian dan pengalaman. Jika seseorang memilih untuk merokok bermakna dia turut memilih untuk mengambil risiko merokok. Oleh kerana pilihan itu adalah pilihan peribadi, maka risikonya juga perlulah diambil secara peribadi tanpa melibatkan orang lain. Para perokok perlu lebih sensitif terhadap persekitaran terutamanya terhadap wanita mengandung dan kanak-kanak. Para perokok juga pastinya tak suka ditegur secara peribadi terutamanya dikhalayak ramai. Oleh itu, jadilah warga yang bertanggungjawab.

Wednesday, July 15, 2009

Dua Kesedihan - Al-Fatihah...

Minggu ni aku dilanda dua kejutan kesedihan. Tak pernah terfikir aku akan hadapi perkara-perkara macam ni tapi inilah ketentuan Allah SWT, Dia Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu...


Pertamanya, pagi 13hb Julai, aku dikejutkan dengan panggilan telefon seawal 6.30 pagi dari seorang sepupu aku. Berita yang aku dengar sangat mengejutkan; sepupu aku yang baru dua minggu mendaftar di UTM Jalan Semarak meninggal dunia, jatuh dari tingkat 4 kolej kediaman. Terpinga-pinga aku antara percaya dengan tidak. Macam2 tandatanya timbul dalam kepala, takut2 ada unsur buli pun ye juga... Tapi selepas selesai siasatan polis & post-mortem, disahkan ia adalah satu kemalangan. Berita ni ada dalam web BERNAMA. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mohd. Khalis bin Zulkiflei.


Yang kedua, tentang kandungan Fiza. Sejak balik dari Jepun hari tu, Fiza memang dah berapa kali mengadu tentang rasa 'kurang selesa'. Aku advise dia untuk buat check-up sebab sejak dia buat prenancy-test sendiri, memang belum dapatkan confirmation dari mana-mana klinik. So malam tadi kami pun pergi la ke klinik kat area Bandar Baru UDA. Fiza sorang je yang masuk jumpa doktor, aku tunggu kat luar jaga Muaz & Anas. Lepas 5 minit, Fiza panggil aku masuk bilik doktor...berdebar la pulak... doktor beritahu berdasarkan pemeriksaan, dia berpendapat 'the baby is not surviving' dan dia tekankan yang dia pasti 99.9% pemeriksaan tu betul. So doktor nasihatkan Fiza supaya tak teruskan atas sebab risiko yang terlalu tinggi. Bagi aku, walaupun agak sedih tapi aku lebih risaukan keselamatan Fiza. Tapi nampak Fiza agak keberatan & sedih yang teramat. Macam mana pun, aku & Fiza akan cuba dapatkan kepastian dari klinik atau hospital lain sebelum buat apa2 keputusan. Mudah-mudahan Allah SWT berikan kemudahan atas setiap urusan.

Friday, June 19, 2009

My Life as a 'Mr. Mom'

Hampir genap dua minggu Fiza ke Jepun, tinggal lebih kurang 14 hari lagi dia nak balik & selama itu juga lah aku kena jadi 'sura rumah'. Banyak yang aku belajar dari apa yang dah aku lalui dalam masa dua minggu ni...masa aku boleh dikatakan terisi sepenuhnya start dari pukul 5.45 pagi sampai ke 11 malam.

Seawal pukul 6 pagi lepas solat Subuh, aku iron baju aku & Muaz (dah lamanya tak iron baju...), nasib baik dulu aku duduk hostel so skill gosok baju tu ada la... Lepas tu aku kejutkan Muaz & Anas, mandikan & siapkan diorang. Muaz & Anas pun tau yang ayah diorang ni tak le sesabar ibu, so cepat je diorang bangun tido kalau aku kejut. Sementara menunggu aku bersiap & mengemas, diorang layan la channel 611, tengok Backkom & Jayjay The Jetplane. Pukul 7.30 pagi, baru aku hantar diorang ke sekolah & terus ke office...kalau ada sesapa terserempak dengan aku overtake kat jalan tu mintak maaf la bebanyak sebab masa yang aku ada tu memang cukup-cukup untuk sampai kat mesin 'punch-card' pukul 7.59 pagi....heheheheh...

Sebelah petang, aku ambil diorang kat sekolah lebih kurang pukul 6 petang. Sebelum sampai rumah aku carikan la apa-apa untuk diorang minum petang. Sampai rumah terus ke dapur buat air. Kalau rasa rajin aku masak la jugak...tapi kalau kena angin malas...makan kat luar je la jawabnye... Lepas Maghrib, aku ajar Muaz & Anas mengaji, kengkadang aku suruh je Muaz tolong ajar adik dia ngaji...bukan apa, saje nak bagi Muaz rasa tanggungjawab pada adik & Anas ada rasa respect kat abang dia. Lepas mengaji aku ajar Muaz buat homework. Saki baki waktu malam aku habiskan dengan kerja-kerja 'sura rumah', settlekan kain baju dari membasuh sampai lipat, basuh pinggan & kemas rumah...nasib baik Muaz & Anas boleh cooperate tolong sikit2...

Walaupun pada awalnye aku agak kekok dengan sesetengah kerja yang aku jarang buat (lipat baju, sidai kain), tapi lepas beberapa hari, alhamdulillah...aku dapat sesuaikan diri. Memang dari awal masa aku izinkan Fiza nak ke Jepun tu, aku dah challenge diri aku untuk commit dengan kerja-kerja ni. Sekurang-kurangnya aku lebih sedar tentang betapa letihnya jadi seorang surirumah apatah lagi jadi working housewife. Mudah-mudahan keringanan tulang aku ni berterusan sampai Fiza dah balik nanti....

Saturday, June 13, 2009

Ali bin Abi Talib : Mutiara Ilmu Islam

Alhamdulillah...aku baru je habiskan baca buku ni, Ali bin Abi Talib: Mutiara Ilmu Islam oleh Abdul Latip Talib. Pada awalnya aku jangkakan akan membaca cerita-cerita yang aku dah biasa dengar & tahu tentang riwayat hidup Saiyidina Ali, tapi ternyata telahan aku meleset. Apa yang aku temui adalah kupasan hidup seorang sahabat nabi yang mampu membawa aku berfikir & menghayati betapa jauhnya nilai kehidupan seorang Islam dulu dengan apa yang kita lalui sekarang. Dan aku juga melihat betapa sejarah telah membuktikan bahawa keghairahan berpolitik mampu merobek nilai-nilai akhlak, perpaduan, persahabatan & persaudaraan. Banyak yang baru bagi aku, banyak iktibar, teladan mahupun sempadan yang boleh diambil untuk menjalani kehidupan sebagai seorang individu Muslim dan sebagai seorang umat kerdil akhir zaman...
Permulaan buku ini menceritakan episod awal kelahiran Saiyidina Ali dan keakraban Rasulullah SAW dengan keluarganya. Sebagai seorang yang dibesarkan dirumah Rasulullah dan antara orang pertama yang memeluk Islam, Saiyidina Ali atau nama asalnya Haidarah ibni Abi Talib merupakan salah seorang yang sahabat nabi yang banyak menerima tarbiyyah secara terus dari Rasulullah. Ketinggian ilmunya diiktiraf sendiri oleh nabi seperti dalam sabda Baginda "Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya."
Kisah-kisah yang biasa kita dengar seperti kisah khalwat Rasulullah SAW di Gua Hira', perlantikan Nabi sebagai Pesuruh Allah SWT dan hijrah Rasulullah bersama Saiyidina Abu Bakar juga disentuh dalam buku ini dengan memberikan fokus terhadap peranan Saiyidina Ali dengan penceritaan yang lebih mikro menjadikan ia seolah-olah satu kisah yang baru.
Melalui buku ini juga, aku lebih faham maksud ayat Allah ""Tidak sekali-kali redha golongan Yahudi dan golongan Nasrani sehingga kamu mengikut jalan kehidupan mereka". Peranan Yahudi dalam memecahbelahkan umat Islam sudah bermula seawal penubuhan kerajaan Islam di Madinah. Pengkhianatan demi pengkhianatan oleh mereka ke atas perjanjian dengan pimpinan Islam menunjukkan orang Yahudi memang tidak akan ikhlas dalam hubungan mereka dengan orang Islam.
Episod-episod sedih mengisi bahagian-bahagian terakhir buku ini. Bermula dengan pemberontakan yang membawa kepada pembunuhan Saiyidina Uthman hinggalah pergolakan politik yang didalangi oleh Yahudi sehingga mencetuskan Perang Jamal, perang saudara antara Saiyidina Ali dengan Saiyidatina Aisyah, Perang Siffin, perang Saiyidina Ali dengan Saiyidina Mu'awiyah dan pertelingkahan dengan golongan Khawarij yang membawa kepada pembunuhan Saiyidina Ali. Sesungguhnya apa yang berlaku sangat menginsafkan dan patut dijadikan iktibar.
Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan kekuatan untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam.