Alhamdulillah...aku baru je habiskan baca buku ni, Ali bin Abi Talib: Mutiara Ilmu Islam oleh Abdul Latip Talib. Pada awalnya aku jangkakan akan membaca cerita-cerita yang aku dah biasa dengar & tahu tentang riwayat hidup Saiyidina Ali, tapi ternyata telahan aku meleset. Apa yang aku temui adalah kupasan hidup seorang sahabat nabi yang mampu membawa aku berfikir & menghayati betapa jauhnya nilai kehidupan seorang Islam dulu dengan apa yang kita lalui sekarang. Dan aku juga melihat betapa sejarah telah membuktikan bahawa keghairahan berpolitik mampu merobek nilai-nilai akhlak, perpaduan, persahabatan & persaudaraan. Banyak yang baru bagi aku, banyak iktibar, teladan mahupun sempadan yang boleh diambil untuk menjalani kehidupan sebagai seorang individu Muslim dan sebagai seorang umat kerdil akhir zaman...
Permulaan buku ini menceritakan episod awal kelahiran Saiyidina Ali dan keakraban Rasulullah SAW dengan keluarganya. Sebagai seorang yang dibesarkan dirumah Rasulullah dan antara orang pertama yang memeluk Islam, Saiyidina Ali atau nama asalnya Haidarah ibni Abi Talib merupakan salah seorang yang sahabat nabi yang banyak menerima tarbiyyah secara terus dari Rasulullah. Ketinggian ilmunya diiktiraf sendiri oleh nabi seperti dalam sabda Baginda "Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya."
Kisah-kisah yang biasa kita dengar seperti kisah khalwat Rasulullah SAW di Gua Hira', perlantikan Nabi sebagai Pesuruh Allah SWT dan hijrah Rasulullah bersama Saiyidina Abu Bakar juga disentuh dalam buku ini dengan memberikan fokus terhadap peranan Saiyidina Ali dengan penceritaan yang lebih mikro menjadikan ia seolah-olah satu kisah yang baru.
Melalui buku ini juga, aku lebih faham maksud ayat Allah ""Tidak sekali-kali redha golongan Yahudi dan golongan Nasrani sehingga kamu mengikut jalan kehidupan mereka". Peranan Yahudi dalam memecahbelahkan umat Islam sudah bermula seawal penubuhan kerajaan Islam di Madinah. Pengkhianatan demi pengkhianatan oleh mereka ke atas perjanjian dengan pimpinan Islam menunjukkan orang Yahudi memang tidak akan ikhlas dalam hubungan mereka dengan orang Islam.
Episod-episod sedih mengisi bahagian-bahagian terakhir buku ini. Bermula dengan pemberontakan yang membawa kepada pembunuhan Saiyidina Uthman hinggalah pergolakan politik yang didalangi oleh Yahudi sehingga mencetuskan Perang Jamal, perang saudara antara Saiyidina Ali dengan Saiyidatina Aisyah, Perang Siffin, perang Saiyidina Ali dengan Saiyidina Mu'awiyah dan pertelingkahan dengan golongan Khawarij yang membawa kepada pembunuhan Saiyidina Ali. Sesungguhnya apa yang berlaku sangat menginsafkan dan patut dijadikan iktibar.
Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan kekuatan untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam.
No comments:
Post a Comment