Thursday, August 27, 2009

Salam Ramadhan 1430 Hijriyyah

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat sahabat-sahabat pembaca. Mungkin ucapan ni agak terlambat sebab kita telah pun mengharungi hari ke-6 berpuasa, tapi harapnye belum terlalu lewat untuk aku berkongsi minda dan cerita untuk renungan dan penghayatan bersama.

1430H, masuk tahun ke-5 aku menyambut Ramadhan sebagai seorang suami, sekaligus tahun ke-4 sebagai seorang bapa. Saban tahun, Ramadhan datang dan pergi dan aku masih di sini sebagai seorang manusia yang masih diberi kesempatan untuk menimba barakah, rahmah dan maghfirah yang melimpah ruah. Alhamdulillah....syukur, namun akan tiba satu ketika kesempatan tidak lagi menyebelahi aku. Kerapkali aku membuka Ramadhan dengan tekad memperbaiki kualiti muslim dan mu'min dalam diri, dan kerapkali juga ruang dan peluang tidak aku manfaatkan sebaiknya. Pada usia yang mencecah 30, teringat pada sabda Nabi SAW, "Siapa saja yang mencapai umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatannya bersiap-siaplah untuk ke Neraka". Naúzubillah...

Tanggungjawab yang digalas menyedarkan lagi betapa aku harus segera bangkit bukan sekadar untuk memperbaiki diri sendiri, tapi untuk memimpin semua yang dibawah tanggungan untuk benar-benar menghayati Ihya' Ramadhan. Pesan seorang sahabat/ustazah dalam blognya membuat hati aku tersentak, "...melatih anak berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu adalah melatih nafsu untuk tunduk patuh kepada arahan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Mengawal keinginan diri untuk bertindak berpandukan syariatNya. Itulah hikmah TAQWA yang harus dititikberatkan dalam pendidikan berpuasa anak-anak, sejak mereka kecil lagi...".

Tahun ini Muaz dan Anas mula belajar berpuasa, tahun ini aku akan gandakan usaha. Semoga Allah SWT memilih aku untuk menghiasi Ramadhan ini lebih dari apa yang pernah aku lakukan sebelum ini....Amin.

Friday, August 14, 2009

H1N1 : Sedikit Info Untuk Dikongsi

Saya terima emel dari seorang sahabat, memberi sedikit informasi berhubung H1N1. Bagi saya, ia merupakan maklumat yang sangat baik dan praktikal. Disini saya kongsikan bersama pengunjung blog:

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit babi sahaja) dan telah berevoluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yang lebih tinggi di dlm rantaian makanan iaitu manusia, dan semasa di dlm badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air-born' dan menjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka hayat virus

Oleh kerana ia adalah virus air-born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja . Jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host (badan manusia) ia akan mati. maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air-ventilation yang baik akan 'bersih' dari virus tersebut. Sebenarnya outbreak virus ini telah berlaku lebih awal di Amerika Syarikat namun ia tidak dilaporkan kepada WHO. Umum hanya mengetahu Mexico adalah sumber pertama kes H1N1.

Virologi virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari menunjukkan virus ini cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit. Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hingga 4 hari dijangkiti. H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara jangkitan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS) Pada peringkat awal, ia kesannya hanya pada 'trakea', jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse'. Ia amat berbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Siapa yang berisiko tinggi

1. orang yang ada masalah 'obesiti' @ gemuk
2. perempuan yang mengandung
3. orang yang ada asthmatic
4. orang yang lemah sistem imunisasi (baru menjalani pembedahan besar, kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan yang rendah tahap imuniti).

Simptom-simptom

Hari pertama : Rasa kurang sihat, tak bermaya.
Hari kedua : Selsema, batuk dan demam yang kekal (tidak kebah walaupun selepas ambil ubat)
Hari ketiga : Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Hari keempat : Sakit dada yang teruk
Hari kelima : Lung collapse @ koma.


Langkah Kawalan

  1. Jauhi menghadiri kawasan tumpuan ramai (terutama golongan yang berisiko tinggi).
  2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran.
  3. Elakkan diri jika berhadapan dengan orang yang batuk, bersin dan kurang sihat.
  4. Jika kurang sihat, elakan diri dari bersosial dan berkumpul.
  5. Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang-kurangnya 3 ply mask)
  6. Jika ada tanda-tanda simptom diatas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.
  7. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus. Jika tidak sakit, jangan ambil anti-viral kerana jika ia boleh mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat untuk merawat jika terkena jangkitan.

Vaksin untuk ‘frontliner’ hanya akan 'wujud' seawal-awalnya pada Oktober 2009. Untuk orang awam selewat-lewatnya pada 2010. Oleh itu, tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbrake ini. Sama-samalah berdoa berdoa kepada Allah S.W.T. agar bala ini cepat berlalu.

Perginya Seorang Pejuang : Allahyarham Ust. Asri Ibrahim

Al-Fatihah. Tanggal 13 Ogos 2009 menyaksikan perginya sebutir bintang yang telah sekian lama menyinari persada perjuangan nasyid, Allahyarham Ustaz Asri bin Ibrahim. Mesra dengan gelaran Ust. Asri, beliau merupakan salah seorang 'sifu' yang bertanggungjawab memartabatkan nasyid sebagai wadah dakwah dan perjuangan disamping memberi alternatif hiburan kepada masyarakat.


Secara peribadi, saya mula meminati beliau sekitar tahun 1994 melalui album Munajat (Nadamurni). Itu jugalah merupakan detik terpautnya hati saya pada irama nasyid. Lagu-lagu seperti Munajat, Nun Di Sana Cita-Cita Kita, Sunnah Berjuang, Sifat 20, Marilah Berkasih Sayang dan Bila Nur Melimpah Dihati adalah antara lagu-lagu dendangan beliau yang tak pernah lenyap dari ingatan saya, malah lagu Sunnah Berjuang jugalah yang membawa saya menjadi seorang penasyid pada hari ini.


Peluang mengenali beliau secara dekat melalui beberapa persembahan bersama merupakan kenangan yang sangat menggembirakan. Antara persembahan bersama yang masih segar dalam ingatan adalah Malam Gemilang Seni Dijulang di Pusat Matrikulasi UIA, Malam Kebudayaan Islam di UM dan konsert sempena Konvokesyen UIA. Gema suara beliau yang lunak seakan terngiang-ngiang di telinga. Subhanallah...merdu yang amat.


Walaupun hanya beberapa kali bertemu, saya dapat merasakan keramahan dan tawadhuknya beliau sehinggakan kita tidak rasa janggal untuk berurusan mahupun untuk berbual santai. Takziah saya untuk seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah mencucuri Rahmat, Maghfirah dan Kasih SayangNya ke atas Allahyarham.

Thursday, July 30, 2009

Zon Larangan Merokok : Di Mana Sensitiviti Kita?

Dah lama jugak aku berniat nak tulis pasal rokok ni, tapi bila mengenangkan kawan-kawan yang masih lagi terbelenggu dengan rokok, rasa tak sampai hati. Tapi lepas difikir-fikirkan, ada baiknya aku teruskan kerana niat aku hanya untuk berkongsi rasa dan minda. Aku bukan la ustaz yang nak cerita pasal hukum merokok, kaedah istinbat hukum merokok dan perbezaan pendapat ulama tentang hukum merokok. Aku pun bukannya doktor yang pandai nak mengupas tentang bahayanya rokok dan unsur-unsur dalam rokok tu kepada manusia. Tapi sebagai orang awam, aku rasa bertanggungjawab untuk menyeru para perokok semua supaya lebih sensitif terhadap zon larangan merokok.


Setakat ini, tidak kurang daripada 22 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok melibatkan lobi hotel, ruang pejabat berhawa dingin, pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan (kecuali kawasan yang dikhaskan), lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan, institusi pendidikan tinggi, tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium, stesen minyak, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan serta kaunter-kaunter perkhidmatan yang lain. Dari apa yang aku perhatikan, pelaksanaan zon larangan merokok agak kurang diberi perhatian terutamanya di sekolah, tempat makan, lif, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam malah di pusat asuhan kanak-kanak.


Sebagai orang dewasa, aku rasa para perokok cukup matang dalam menentukan keadaan dan tempat yang sesuai untuk merokok agar tidak melibatkan orang lain dalam 'upacara' tu, kerana prinsipnya adalah mudah, asap rokok tu seharusnya tidak masuk ke paru-paru orang lain. Dari pengalaman peribadi aku sendiri, kerapkali aku terperangkap dengan insiden dikelilingi oleh beberapa perokok yang tanpa rasa bersalah menghembus asap rokok semasa berbual. Yang lebih mengharukan ada juga yang sudi nak mendukung anak dengan rokok berasap di tangan.


Para perokok seharusnya telah sangat sedar tentang bahaya merokok seperti yang dah diwar-warkan berdasarkan kajian dan pengalaman. Jika seseorang memilih untuk merokok bermakna dia turut memilih untuk mengambil risiko merokok. Oleh kerana pilihan itu adalah pilihan peribadi, maka risikonya juga perlulah diambil secara peribadi tanpa melibatkan orang lain. Para perokok perlu lebih sensitif terhadap persekitaran terutamanya terhadap wanita mengandung dan kanak-kanak. Para perokok juga pastinya tak suka ditegur secara peribadi terutamanya dikhalayak ramai. Oleh itu, jadilah warga yang bertanggungjawab.

Wednesday, July 15, 2009

Dua Kesedihan - Al-Fatihah...

Minggu ni aku dilanda dua kejutan kesedihan. Tak pernah terfikir aku akan hadapi perkara-perkara macam ni tapi inilah ketentuan Allah SWT, Dia Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu...


Pertamanya, pagi 13hb Julai, aku dikejutkan dengan panggilan telefon seawal 6.30 pagi dari seorang sepupu aku. Berita yang aku dengar sangat mengejutkan; sepupu aku yang baru dua minggu mendaftar di UTM Jalan Semarak meninggal dunia, jatuh dari tingkat 4 kolej kediaman. Terpinga-pinga aku antara percaya dengan tidak. Macam2 tandatanya timbul dalam kepala, takut2 ada unsur buli pun ye juga... Tapi selepas selesai siasatan polis & post-mortem, disahkan ia adalah satu kemalangan. Berita ni ada dalam web BERNAMA. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mohd. Khalis bin Zulkiflei.


Yang kedua, tentang kandungan Fiza. Sejak balik dari Jepun hari tu, Fiza memang dah berapa kali mengadu tentang rasa 'kurang selesa'. Aku advise dia untuk buat check-up sebab sejak dia buat prenancy-test sendiri, memang belum dapatkan confirmation dari mana-mana klinik. So malam tadi kami pun pergi la ke klinik kat area Bandar Baru UDA. Fiza sorang je yang masuk jumpa doktor, aku tunggu kat luar jaga Muaz & Anas. Lepas 5 minit, Fiza panggil aku masuk bilik doktor...berdebar la pulak... doktor beritahu berdasarkan pemeriksaan, dia berpendapat 'the baby is not surviving' dan dia tekankan yang dia pasti 99.9% pemeriksaan tu betul. So doktor nasihatkan Fiza supaya tak teruskan atas sebab risiko yang terlalu tinggi. Bagi aku, walaupun agak sedih tapi aku lebih risaukan keselamatan Fiza. Tapi nampak Fiza agak keberatan & sedih yang teramat. Macam mana pun, aku & Fiza akan cuba dapatkan kepastian dari klinik atau hospital lain sebelum buat apa2 keputusan. Mudah-mudahan Allah SWT berikan kemudahan atas setiap urusan.