Thursday, September 2, 2010

Tinggal 7 Hari...





Tinggal 7 hari lagi puasa, Ramadhan yang cemerlang untuk Muaz & Anas. Setakat ni Muaz dah berjaya puasa penuh sebanyak 15 hari & Anas 14 hari...tahniah untuk  buah hati ayah. Fiza pulak terpaksa melalui Ramadhan ni dengan 'mabuk & loya', berat badan pun dah susut beberapa kilo sebab tak lalu makan masa buka & sahur. Kesian, nampak lemah sangat dia menahan mabuk... So untuk memudahkan Fiza, aku biarkan dia decide menu untuk buka & sahur, supaya kena dengan selera dia, sekurang-kurangnya berisi juga perut dia. Hmm...Itulah sebahagian dari pengorbanan seorang ibu...

7 hari lagi, bulan "Rahmah & Maghfirah" ni bakal meninggalkan kita, memberi kita 354 hari lagi untuk ketibaannya semula, entahkan dapat entahkan tidak. Mengukur diri sendiri, masih banyak yang sepatutnya aku lakukan untuk menghampirkan diri pada fitrah, masih kurang usaha untuk meningkatkan taqwa, masih kurang bersyukur pada hikmah Ramadhan yang Allah SWT kurniakan. Betul kata Ust. Arif Jasiman, kadang-kadang kita seolah-olah sombong dengan Tuhan, 30 hari diberi peluang untuk mengejar pahala yang berganda-ganda, untuk menghapus dosa dibawah maghfirahNya, tapi kita buat 'dek....aje'. Dah dikhabarkan wujudnya 1 malam yang lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun 4 bulan), tapi kita tak usaha untuk mendapatkannya... Sama-samalah kita usaha, sekurang-kurangnya kita mampu menjadi Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari jurang Neraka-Nya dan memilih kita untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan.



Monday, August 16, 2010

Alhamdulillah...Positif.


Alhamdulillah...Ramadhan ini beri satu khabar gembira buat aku & Fiza sekeluarga. Syukur pada Allah SWT atas kurniaannya. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku sebenarnya gembira campur bimbang dengan berita ni, mengenangkan apa yang terpaksa Fiza harungi tahun lepas. Tapi aku sedar, tawakkal dan doa pada Dia yang menentukan segalanya adalah jalan sewajarnya. Tiada kekecewaan bagi orang yang bertawakkal.

Nenek-nenek lah yang menunggu sangat berita ni. Maklumlah, umur Anas dah 4 tahun dan umur aku & Fiza pun dah mencecah umur pertengahan. Sejak tahun lepas aku & Fiza asyik diasak soalan "bila lagi nak menambah?", kadang-kadang naik penat juga nak menjawab....huhuhu. Memang jealous juga tengok member-member ramai dah masuk tiga orang malah ada juga yang dah empat orang, kalau boleh tak nak ketinggalan jauh sangat...

Hmm...langkah pertama, kena kurangkan kepenatan Fiza uruskan rumah, nampaknya ayah, Muaz & Anas kena la lebih banyak tolong ibu untuk pastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan... Fiza pun dah start layan mabuk...so kena la "hulurkan tangan ringankan beban"...huhuhu...

Mudah-mudahan Allah SWT kurniakan kesihatan dan kekuatan buat Fiza & "baby" kami.



Thursday, August 12, 2010

Salam Ramadhan 1431



Alhamdulillah...masih diberi kesempatan menempuh Ramadhan, masih diberi peluang menambah pahala, masih diberi ruang mencuci onar dosa. Kesempatan yang amat besar maknanya, yang mampu menarik insan keluar dari jurang neraka...

Agak lama juga aku meninggalkan blog nie sepi dari sebarang entri baru, bukan blog nie aje malah FB pun lama tak berjenguk...setelah tiga bulan memegang amanah, akhirnya berjaya juga aku selesaikan misi penanggungan kerja yang amat mencabar itu...alhamdulillah...pengalaman yang sangat baik untuk mematang diri dalam membuat keputusan...

Bermulalah pesta ibadah di masjid-masjid. Alhamdulillah, nampak kehadiran untuk solat tarawih amat membanggakan. Seronok pulak rasanya...harapnya bilangan tak berkurang banyak sangat menjelang akhir Ramadhan nanti...

Bila tengok ramainya manusia kat masjid ni, teringat masa  bulan puasa di universiti dulu...memang seronok kalau berbuka di masjid. Lebih kurang pukul 6.30 petang, biasanya ramai yang dah menunggu kehadiran van yang bawak makanan...entah siapa yang sedekah...wallahu a'lam. Yang pasti aku & kawan-kawan biasanya dapat tapau dua bekas polystyrene, satu untuk buka & satu untuk sahur...jimat...jimat.. Biasalah budak lelaki memang selalu berkira sikit bab makan ni...duit banyak habis untuk upgrade komputer & beli prepaid...heheheh...



Tarawih berjemaah kat masjid UIA memang best. Semua imam adalah dari golongan huffaz dan punya alunan bacaan yang sangat menyentuh hati walaupun buat yang tak faham bahasa arab (aku la tu...). Satu malam satu juzuk, tapi tak terasa lamanya...telinga akan sentiasa tertarik untuk mengikuti bacaan imam...boleh menitis air mata dibuatnya....


Sepanjang hidup di UIA aku dapat tengok sendiri macam mana kepelbagaian mazhab disatukan dalam satu program ibadah. Semua bebas mendengar hujah daripada mazhab-mazhab yang berbeza dan setiap orang bebas untuk buat penilaian berdasarkan dalil dan nas yang dirujuk... Tapi sebagai orang yang kurang arif berkenaan usul fiqh, biasanya aku lebih cenderung untuk tetap dengan apa yang aku belajar masa di sekolah agama dulu...

Itulah yang dinamakan kenangan...dan kenangan itulah yang dah banyak mendidik diri untuk menjadi manusia yang lebih bersyukur. Semoga jiwa ini terus terdidik dan menerima tarbiyyah untuk mampu berdiri dengan sejahtera di hadapan Pencipta nanti....Amin.

Tuesday, June 1, 2010

Jalan2 @ Singapura

Dah lama juga aku berangan-angan nak ke Singapura, bukan apa, saja nak tengok tempat orang...dengar-dengarnya Singapura antara bandar terbersih & paling sistematik di dunia, so nak la juga tengok sendiri... Tapi dah berapa kali plan, tak jadi...maklumlah, aku tak confident nak drive sendiri ke sana, so kena tunggu orang yang sudi nak bawak...

Nak dijadikan cerita, akhirnya kesampaian juga hajat aku...sekolah adik aku buat lawatan ke Singapura, kosnya cuma RM100 untuk dewasa & RM50 untuk kanak-kanak termasuk kos untuk group-passport...okay la tu. Lawatan dijadualkan pada 28 Mei (Wesakday) so tak payah la aku apply cuti.

Tiba hari perjalanan, kami diminta menunggu di Masjid Sultan Abu Bakar seawal 6 pagi coz bas akan bertolak jam 5 pagi dari Kluang, so Fiza bangun pukul 3 pagi siapkan sarapan & bekalan. Sebakul juga bekal yang dia siapkan...nasi goreng, ayam goreng, telur masak kicap, nugget & sosej. Pukul 6 pagi adik aku call beritahu bas baru je bertolak dari Kluang, 1 jam delay. Tunggu punya tunggu, akhirnya bas sampai di Masjid Sultan Abu Bakar pukul 8 pagi setelah beberapa kali berhenti... Sebelum bertolak, urusetia maklumkan sebarang bekalan makanan adalah dilarang dibawa masuk ke Singapura, so sebakul bekalan yang Fiza dah siapkan terpaksalah ditinggalkan dalam kereta.... Kami bergerak ke kompleks CIQ lebih kurang jam 8.30 pagi. Agak lama juga proses immigration di CIQ & Woodlands, hampir 2 jam, maklumlah kebanyakan dari kami guna group-passport...Muaz & Anas pun dah mula keletihan sampai terkeluar ayat dari mulut Muaz, "macam ni je ke kita pegi Singapura??". Jam 10.30 proses immigration selesai....


Jam 11 pagi, tiba di destinasi pertama, Singapore Science Center. Kami dibekalkan dengan map & tiket, bergerak secara sendiri & mesti balik ke bas pada jam 12.30 tengahari. Merayau-rayau la aku sekeluarga dalam Science Center tu, tak pasti area mana yang lebih utama untuk dilawati. Dalam kekonfiusan tu, kami cuma sempat pergi ke seksyen Discovery Zone, Sound Exhibition, The Mind's Eye & Marine Alcove, lebih kurang 30% dari pameran yang ada...rugi...rugi...


Next kami berhenti kat area Masjid Sultan di North Bridge Road untuk lunch & solat. Sekali lagi, kami dibiarkan untuk mencari tempat makan sendiri. Mujurlah dengan bantuan orang tempatan, kami jumpa tempat makan yang sesuai di Raffles Hospital. Harga makanan, memang berpatutan kalau nilai tukaran SD ke RM tak diambilkira...nasi ayam baru SD3.50...



Lepas makan mata pun dah layu...maklumlah masing-masing bangun awal...masuk je bas terus "pengsan", sedar-sedar dah sampai kat Anderson Bridge (Fullerton Road). Jam dah pukul 4.30 petang, 2 jam lari dari waktu program yang dirancang. Sempat jugalah snap beberapa keping gambar walaupun Muaz & Anas dah agak keletihan & hilang mood nak berjalan...



Seterusnya kami bergerak ke Sentosa Island. Jalan agar sesak & kami sampai lebih kurang jam 6 petang. Aktiviti yang dirancang di Pulau Sentosa; melihat pemandangan dari Lion Sky-Tower. Oleh sebab budak-budak pun dah penat, aku & Fiza decide untuk skip aktiviti ni. Kami tengok view dari bawah menara je...Pukul 7.00 kami bertolak semula ke Woodlands. Singgah kat deretan gerai di Woodlands Center Road. Sempat juga aku shopping sikit & solat Maghrib di masjid An-Nur. Lepas tu, terus ke immigration complex untuk check-out.


Lebih kurang jam 9.30 malam baru kami sampai semula ke Masjid Abu Bakar...lega rasanya selesai menempuh perjalanan yang kurang terancang. Takpe la, sekurang-kurangnya aku dah dapat jejak kaki kat Singapura, dah tau serba sikit selok belok jalan kat sana, insya-Allah next time kami boleh pergi dengan kereta sendiri...

Monday, May 3, 2010

Lebih Zalim Dari Firáun



Kes-kes pembunuhan dan pembuangan bayi kembali mendapat perhatian media, secara tak langsung mengingatkan kita bahawa isu pembuangan bayi masih belum selesai dan tak pernah berhenti berlaku. Memang amat menyedihkan melihat keadaan bayi-bayi yang masih suci tak berdosa dibunuh dengan kejam lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang mengaku Muslim. Entah mana letaknya iman pada masa pembunuhan dan pembuangan dilakukan sehingga tergamak untuk bertindak sekejam itu.

Cuba kita hayati kisah Firáun ketika dia mendapat tafsiran mimpi oleh ahli nujum bahawa kuasa pemerintahan negara Mesir akan jatuh ke tangan seorang pemuda Bani Israel, maka diarahkan seluruh kekuatan tentera bagi mengeledah rumah di seluruh pelosok Mesir untuk mencari dan membunuh semua bayi lelaki Bani Israel. Itulah antara episod kekejaman Firáun yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam kalamNya Yang Agung. Pada ketika itulah, seorang ibu dengan linangan air mata dan tawakkal yang tinggi, menghanyutkan bayi lelakinya mengikut arus Sungai Nil demi menyelamatkan nyawanya dari direnggut kerakusan tentera Firáun. Dengan takdir Allah SWT mengatasi segalanya, bayi yang dihanyutkan bukan sahaja selamat malah telah berjaya untuk membesar dalam istana Firáun sendiri. Namun apabila kehadiran bayi lelaki itu disedari oleh Firáun, ternyata kekejaman Firáun tidak berjaya mengatasi rasa kasih dan sayangnya pada seorang kanak-kanak yang telah membesar dalam istananya, walaupun itu bukan anaknya sendiri. Apa yang dilakukan oleh Firáun demi menunjukkan ketegasannya hanyalah menempatkan kanak-kanak itu (Nabi Musa) di sebuah rumah yang dibina di sebelah istananya. Begitulah tewasnya sifat angkuh seorang raja pada sifat kasihnya.

Cerminlah dengan biasan iman, akal dan budi, adakah masyarakat kita sudah menjadi lebih zalim dari Firáun. Renungkan dengan mata hati, adakah kita menuju hidup yang lebih bertamadun atau sebaliknya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia tidak akan terhenti di sini. Kita bakal menghadapi Hari Pembalasan atas tiap perkara yang kita lakukan. Bertemulah semula si anak dengan si ibu demi menuntut keadilan buat dirinya di hadapan Allah Maha Adil. Semoga kita terhindar dari bencana yang sebenar itu.