Monday, January 11, 2010

Demi Matahari



Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah


Album : Di Pintu Langit
Munsyid : Snada
Cipt. : M. Lukman Nunasyim

Wednesday, January 6, 2010

Mereka Terus Ketawa........




Mereka terus ketawa, Melihat kita berlaga-laga,
Mereka terus ketawa, Melihat kita saling mengata,
Mereka terus ketawa, Melihat kita saling membinasa,
Mereka terus ketawa, Melihat kita putus saudara,
Mereka terus ketawa, Rancangan mereka telah berjaya...


Kita terus merana, Taksub buta menjadi punca,
Kita terus merana, Kawan dan lawan tak tahu beza,
Kita terus merana, Matlamat perjuangan semakin dilupa,
Kita terus merana, Al-Quran & Sunnah sekadar baca,
Kita terus merana, Islam dipegangan terus dihina...


Usah ditangis pada yang pergi, ganjaran Allah SWT menanti,
Usah diselisih beza seinci, Al-Quran dan Sunnah digali cari,
Usah ditarung kuasa di bumi, matlamat akhirat kekal abadi,
Usah dipisah Islam dan negeri, kalimah syahadah penyatu hati,
Usah dirisau datangnya mati, ajal maut urusan Ilahi...

Thursday, December 31, 2009

Post Penutup 2009



Pantas sungguh masa berlalu, selesai sudah 365 hari untuk tahun 2009, tahun yang punya berbagai cerita suka duka...

Bagi aku, tahun 2009 memberi makna tersendiri kerana mula memasuki umur 30an, satu tahap umur yang aku kategorikan sebagai sempadan antara umur remaja dengan kedewasaan. Dewasa dengan erti kata bertambah tanggungjawab dan peranan.

Tahun 2009 aku juga sarat dengan pertemuan dengan sahabat-sahabat lama, reunite dengan sahabat-sahabat dari sekolah rendah & sekolah menengah, tahun aku mula aktif berblog & berFB....boleh dikatakan aku temui hobi baru pada tahun 2009....

Dari segi pencapaian, takde apa yang boleh dibanggakan...harapan nak menyambung pelajaran pun belum nampak bayangan....harap-harap tak jadi angan-angan. Tapi kalau difikir secara positif, okay juga, sekurang-kurangnya aku boleh beri lebih tumpuan pada perkembangan anak-anak yang tengah memuncak...



2010, 10 tahun lagi sebelum umur mencecah 40. Banyak perkara yang perlu diusahakan, banyak perkara perlu dicapai. Mungkin aku perlu senaraikan supaya perancangan & strategi jadi lebih teratur. Semoga diberi kesempatan untuk menjadi lebih baik, sebelum nafas terhenti.


Saturday, December 12, 2009

Tahniah Buat Buah Hati Ayah!!!



9 Disember 2009, hari terbuka untuk Tadika Al-Aqil, tempat Muaz dan Anas mengisi masa semasa aku & Fiza ke pejabat. Genap setahun Muaz melalui sesi pembelajaran formal, nampak banyak kesan positif yang dia perolehi dari segi pengetahuan, kemahiran & pembentukan sahsiah diri.


Masih segar lagi dalam ingatan aku masa aku & Fiza berbincang untuk buat keputusan untuk hantar Muaz ke tadika, tak pasti sama ada dia dah bersedia nak melalui pembelajaran ala-sekolah yang mungkin agak memberatkan dengan sesi kelas dan kerja rumah. Banyak juga maklumat dari blog & buku, serta pendapat & pengalaman kawan-kawan yang aku timba untuk buat keputusan. Dalam setahun nie, aku dapat lihat banyak perkembangan dalam diri Muaz. Alhamdulillah, tahun 2009 Muaz lalui dengan pengisian yang banyak melengkapkan dirinya untuk menghadapi tahun-tahun mendatang.





Buat Muaz buah hati ayah, tahniah ayah ucapkan. Semoga Muaz terus berusaha dengan kerajinan dan kesungguhan. Tahun 2010,  giliran Anas pulak memulakan langkah ke sekolah. Dari segi perwatakan, dia memang berbeza dari Muaz, sedikit moody. Apapun, semoga dia dapat lalui proses itu dengan keseronokan dan keterujaan, sama macam Muaz. Doa ayah dan ibu sentiasa mengiringi kalian....



Thursday, November 26, 2009

Perkahwinan Sekufu - Pandangan Peribadi

Genap sebulan blog ni aku tinggalkan tanpa entry baru...jadual harian sarat & padat dengan urusan kerja & keluarga...Budak berdua tu pun agak demanding akhir-akhir ni, perlukan lebih perhatian dan kasih sayang...

Anyway, dah lama juga aku nak cerita pasal perkahwinan sekufu ni, sebab sekarang ni aku tengok perkahwinan ni dah jadi macam 'menyewa rumah', perceraian berlaku setiap hari sampai pejabat sulh dan Mahkamah Syariah penuh dengan kes-kes backlog. Dari pemerhatian aku, kebanyakan keruntuhan institusi keluarga sekarang nie berpunca dari masalah tak sekufu. Perkahwinan sekufu boleh diertikan sebagai satu keadaan di mana sepasang suami isteri yang berada pada kedudukan yang melengkapi atau sesuai dalam beberapa aspek yang tertentu contohnya aspek pendapatan, pengetahuan, latar belakang, dan yang paling penting, agama.




Secara dasarnya, seorang suami diwajarkan untuk mempunyai kestabilan dalam aspek pendapatan, pengetahuan, kematangan dan agama. Tak dinafikan terdapat banyak kes di mana perkahwinan yang melibatkan suami 'kurang' berbanding isteri dalam aspek tertentu berada dalam keadaan yang baik dan harmoni. Namun tak kurang juga yang bermasalah lantaran suami hilang upaya dan suara dalam menentukan halatuju bahtera rumahtangga.


Lelaki Perlu Lebih Matang

Kalau kita amati trend orang dulu-dulu, perempuan biasanya berkahwin pada usia muda, selewat-lewatnya 20 tahun...dan bersuamikan seorang lelaki yang berusia sekurang-kurangnya 5 tahun lebih tua. Perkahwinan mereka itu kukuh dan stabil, hanya sekali sekala 'tergigit lidah' yang memang lumrah hidup berumahtangga. Pandangan aku, kebolehan suami dalam mencorak dan membuat keputusan yang matang dengan pengetahuan dan pengalaman merupakan faktor terbesar dalam mengekalkan keharmonian keluarga. Dalam Islam pun, lelaki diangkat dengan kelebihan dalam membuat keputusan, penghakiman dan penyaksian. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui perihal hambaNya. Wanita dikurniakan Allah SWT dengan sifat emosional sebagai isteri dan ibu, menyerlahkan kelembutan dan sifat menyayangi. Justeru, keputusan yang dibuat kaum hawa punya kecenderungan untuk dipengaruhi emosi dan perasaan yang perlu diimbangi kematangan seorang lelaki. Seorang isteri yang sentiasa ingin berada pada kedudukan sebagai 'primary decision-maker' dalam sesebuah institusi keluarga berkemungkinan meletakkan kestabilan keluarga dalam suasana 'kurang sihat' oleh kerana si suami akan sentiasa pula merasakan dirinya diperlecehkan.


Tanggungjawab Suami Terhadap Ekonomi  Keluarga


Akhir-akhir ni, terlalu kerap kita mendengar rumahtangga yang dibiayai oleh isteri. Dari tempat tinggal, kenderaan hinggalah ke perbelanjaan dapur, semuanya keluar dari 'handbag' isteri. Kegagalan suami dalam menjalankan tanggungjawab ekonomi berkait rapat dengan kredibilitinya sebagai ketua keluarga dan pembuat keputusan. Suami tidak semestinya berpendapatan lebih tinggi berbanding isteri untuk melaksanakan tanggungjawab ekonomi, apa yang lebih penting ialah suami telah menggerakkan segala upayanya untuk membiayai urusan keluarga. Dalam keadaan kebanyakan wanita bekerja, para isteri rata-ratanya tak keberatan untuk sama membantu menyara keluarga, setidak-tidaknya dapat juga membeli rumah, kenderaan dan perabot yang lebih baik berbanding jika suami berkerja seorang. Tapi itu tak bermakna suami boleh ambil sikap lepas tangan dengan melebihkan peruntukan ke arah perbelanjaan yang tak bermanfaat untuk keluarga. Tidak dinafikan terdapat isteri yang mampu meletakkan suami ditempat yang sewajarnya walaupun suami gagal dalam tanggungjawab, namun selama mana hati mampu bertahan jika suami terus menerus tidak mempamerkan ciri yang meyakinkan.


Materialistik atau Realistik

Majoriti ibubapa mahukan kebahagiaan untuk anaknya, justeru kestabilan ekonomi dan kematangan seorang lelaki menjadi antara faktor yang dinilai memilih jodoh untuk anak gadis. Bukanlah untuk bermegah bermenantukan orang berwang, cuma tak mahu anak bersuamikan 'beruang', hidup goyang kaki dengan titik peluh isteri. Bagi yang belum berkahwin, bukalah mata dan mata hati seluas-luasnya sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Cirinya ada dan boleh diduga, terpulang pada diri untuk terima.