Tuesday, June 1, 2010

Jalan2 @ Singapura

Dah lama juga aku berangan-angan nak ke Singapura, bukan apa, saja nak tengok tempat orang...dengar-dengarnya Singapura antara bandar terbersih & paling sistematik di dunia, so nak la juga tengok sendiri... Tapi dah berapa kali plan, tak jadi...maklumlah, aku tak confident nak drive sendiri ke sana, so kena tunggu orang yang sudi nak bawak...

Nak dijadikan cerita, akhirnya kesampaian juga hajat aku...sekolah adik aku buat lawatan ke Singapura, kosnya cuma RM100 untuk dewasa & RM50 untuk kanak-kanak termasuk kos untuk group-passport...okay la tu. Lawatan dijadualkan pada 28 Mei (Wesakday) so tak payah la aku apply cuti.

Tiba hari perjalanan, kami diminta menunggu di Masjid Sultan Abu Bakar seawal 6 pagi coz bas akan bertolak jam 5 pagi dari Kluang, so Fiza bangun pukul 3 pagi siapkan sarapan & bekalan. Sebakul juga bekal yang dia siapkan...nasi goreng, ayam goreng, telur masak kicap, nugget & sosej. Pukul 6 pagi adik aku call beritahu bas baru je bertolak dari Kluang, 1 jam delay. Tunggu punya tunggu, akhirnya bas sampai di Masjid Sultan Abu Bakar pukul 8 pagi setelah beberapa kali berhenti... Sebelum bertolak, urusetia maklumkan sebarang bekalan makanan adalah dilarang dibawa masuk ke Singapura, so sebakul bekalan yang Fiza dah siapkan terpaksalah ditinggalkan dalam kereta.... Kami bergerak ke kompleks CIQ lebih kurang jam 8.30 pagi. Agak lama juga proses immigration di CIQ & Woodlands, hampir 2 jam, maklumlah kebanyakan dari kami guna group-passport...Muaz & Anas pun dah mula keletihan sampai terkeluar ayat dari mulut Muaz, "macam ni je ke kita pegi Singapura??". Jam 10.30 proses immigration selesai....


Jam 11 pagi, tiba di destinasi pertama, Singapore Science Center. Kami dibekalkan dengan map & tiket, bergerak secara sendiri & mesti balik ke bas pada jam 12.30 tengahari. Merayau-rayau la aku sekeluarga dalam Science Center tu, tak pasti area mana yang lebih utama untuk dilawati. Dalam kekonfiusan tu, kami cuma sempat pergi ke seksyen Discovery Zone, Sound Exhibition, The Mind's Eye & Marine Alcove, lebih kurang 30% dari pameran yang ada...rugi...rugi...


Next kami berhenti kat area Masjid Sultan di North Bridge Road untuk lunch & solat. Sekali lagi, kami dibiarkan untuk mencari tempat makan sendiri. Mujurlah dengan bantuan orang tempatan, kami jumpa tempat makan yang sesuai di Raffles Hospital. Harga makanan, memang berpatutan kalau nilai tukaran SD ke RM tak diambilkira...nasi ayam baru SD3.50...



Lepas makan mata pun dah layu...maklumlah masing-masing bangun awal...masuk je bas terus "pengsan", sedar-sedar dah sampai kat Anderson Bridge (Fullerton Road). Jam dah pukul 4.30 petang, 2 jam lari dari waktu program yang dirancang. Sempat jugalah snap beberapa keping gambar walaupun Muaz & Anas dah agak keletihan & hilang mood nak berjalan...



Seterusnya kami bergerak ke Sentosa Island. Jalan agar sesak & kami sampai lebih kurang jam 6 petang. Aktiviti yang dirancang di Pulau Sentosa; melihat pemandangan dari Lion Sky-Tower. Oleh sebab budak-budak pun dah penat, aku & Fiza decide untuk skip aktiviti ni. Kami tengok view dari bawah menara je...Pukul 7.00 kami bertolak semula ke Woodlands. Singgah kat deretan gerai di Woodlands Center Road. Sempat juga aku shopping sikit & solat Maghrib di masjid An-Nur. Lepas tu, terus ke immigration complex untuk check-out.


Lebih kurang jam 9.30 malam baru kami sampai semula ke Masjid Abu Bakar...lega rasanya selesai menempuh perjalanan yang kurang terancang. Takpe la, sekurang-kurangnya aku dah dapat jejak kaki kat Singapura, dah tau serba sikit selok belok jalan kat sana, insya-Allah next time kami boleh pergi dengan kereta sendiri...

Monday, May 3, 2010

Lebih Zalim Dari Firáun



Kes-kes pembunuhan dan pembuangan bayi kembali mendapat perhatian media, secara tak langsung mengingatkan kita bahawa isu pembuangan bayi masih belum selesai dan tak pernah berhenti berlaku. Memang amat menyedihkan melihat keadaan bayi-bayi yang masih suci tak berdosa dibunuh dengan kejam lebih-lebih lagi oleh manusia-manusia yang mengaku Muslim. Entah mana letaknya iman pada masa pembunuhan dan pembuangan dilakukan sehingga tergamak untuk bertindak sekejam itu.

Cuba kita hayati kisah Firáun ketika dia mendapat tafsiran mimpi oleh ahli nujum bahawa kuasa pemerintahan negara Mesir akan jatuh ke tangan seorang pemuda Bani Israel, maka diarahkan seluruh kekuatan tentera bagi mengeledah rumah di seluruh pelosok Mesir untuk mencari dan membunuh semua bayi lelaki Bani Israel. Itulah antara episod kekejaman Firáun yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam kalamNya Yang Agung. Pada ketika itulah, seorang ibu dengan linangan air mata dan tawakkal yang tinggi, menghanyutkan bayi lelakinya mengikut arus Sungai Nil demi menyelamatkan nyawanya dari direnggut kerakusan tentera Firáun. Dengan takdir Allah SWT mengatasi segalanya, bayi yang dihanyutkan bukan sahaja selamat malah telah berjaya untuk membesar dalam istana Firáun sendiri. Namun apabila kehadiran bayi lelaki itu disedari oleh Firáun, ternyata kekejaman Firáun tidak berjaya mengatasi rasa kasih dan sayangnya pada seorang kanak-kanak yang telah membesar dalam istananya, walaupun itu bukan anaknya sendiri. Apa yang dilakukan oleh Firáun demi menunjukkan ketegasannya hanyalah menempatkan kanak-kanak itu (Nabi Musa) di sebuah rumah yang dibina di sebelah istananya. Begitulah tewasnya sifat angkuh seorang raja pada sifat kasihnya.

Cerminlah dengan biasan iman, akal dan budi, adakah masyarakat kita sudah menjadi lebih zalim dari Firáun. Renungkan dengan mata hati, adakah kita menuju hidup yang lebih bertamadun atau sebaliknya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia tidak akan terhenti di sini. Kita bakal menghadapi Hari Pembalasan atas tiap perkara yang kita lakukan. Bertemulah semula si anak dengan si ibu demi menuntut keadilan buat dirinya di hadapan Allah Maha Adil. Semoga kita terhindar dari bencana yang sebenar itu.


Monday, April 19, 2010

Harga Sebuah Keimanan



kelam tiada seri
kerana hati tiada iman
kerana hati tak bercahaya
dengan kasih dan cintaMu Tuhan

alangkah indahnya
kiranya hati ini bersinar
dengan segala sifat terpuji
menuju keredhaanMu Ilahi

keimanan tiada gantinya
walau segala harta di dunia
mujahadah jalan yang utama
memiliki jiwa yang bertaqwa

keinsafan tiada ternilai
walau dengan permata berharga
kesedaran adalah paling utama
memulakan segalanya

alangkah sedihnya
kiranya hati tidak terasa
diri ini sebagai hamba
kepada Allah Yang Maha Pencipta

 alangkah bahagianya
kerana iman sudah terisi
di dalam hati dan sanubari
memohon keampunanMu ilahi

Tuesday, March 30, 2010

Tag From Qim...

Lamanya tak menjenguk blog. Maklumlah, orang dah lama tak amik periksa, sesekali kena PTK, baru berasap kepala.... Anyway sebelum aku start dengan entry lain, better aku settlekan hutang dengan Qim yang hampir-hampir nak jadi hutang lapuk....

Tag dari Qim, instruction nya...

1. Go to your photo files…Select the 8th photo folder.

2. Select the 8th photo in that folder.

3. Post that photo along with the story behind it.



Keputusannya: 




Nama Folder: D://Photo/Family Trip/Melaka
Nama Gambar : DSC000603.JPG

hmm....gambar yg aku amik guna K510i aku yg dah ghaib...masa sesi lawatan ke Melaka tahun 2006, bawak budak-budak kecik yang tak pernah sampai A Famosa...tapi yang senior-senior pun tumpang suka juga coz kali terakhir kami ke situ ialah pada 1995...terlalu banyak perubahan dah berlaku, especially di Bandar Hilir...

4. Then challenge 8 blogging friends to do the same!???
Tak payah la kot, kengkawan aku dgn kengkawan ko lebih kurang sama je Qim...heheheh....sorry...

Sunday, February 21, 2010

Terima Kasih Sayang....




Alhamdulillah....genap 6 tahun usia perkahwinan aku & Fiza, 6 tahun yang penuh dengan pahit manis kehidupan berumah tangga, 6 tahun yang terisi dengan pelbagai usaha untuk mengenal hati budi masing-masing, 6 tahun yang sarat dengan mengambil tahu kegemaran dan kepantangan masing-masing. Pendek kata, 6 tahun usia perkahwinan ini amat bernilai dalam membina rasa cinta dan kasih sayang antara kami.

Tempoh perkenalan kami sebelum berkahwin boleh dikatakan agak singkat sekitar satu setengah tahun. Walaupun pada awal tempoh perkenalan banyak diisi dengan perbezaan dan ketakserasian...tapi entahlah...tak pernah terfikir langsung untuk clash...alhamdulillah...mujur kami mampu bertahan...

Melalui 6 tahun perkahwinan ini mengajar aku erti tanggungjawab sebenar seorang lelaki, sebagai ayah & suami. Mendidik diri untuk mendidik, memimpin diri untuk memimpin, mengajar diri untuk mengajar. Alhamdulillah...Fiza hadir sebagai isteri yang bukan sahaja melengkapi malah memperbaiki kekurangan diri. Dari hari ke hari, kasih dan cinta terus dikurnia Ilahi, atas keikhlasan dan pengorbanan seorang isteri, melayan kerenah suami yang tak berapa mithali...

Buat isteri tersayang, Abang sekeluarga sangat menghargai kehadiran Fiza. Semoga kasih sayang kita terus abadi. Keredhaan Abang sentiasa mengiringi Fiza sebagai isteri dan penyeri... Terima kasih Sayang... Selamat Ulang Tahun Perkahwinan kita yang ke-6.

p/s: Hadiah anniversary tahun nie memang best...lepas nie busy la nak habiskan membaca... hmmm...nak baca yang mana satu dulu???