Wednesday, September 10, 2008

Jauhnya Syurga

Ku cuba mengunyah keaiban di dalam diri ini
Yang tertuang dalam bekas kesedaran
Ku cuba menelan rasa cemas yang meracik hati dan jua perasaan ku
Di hening taubat dan penyerahan

Andai ditakdirkan waktu diundurkan kisah silam berulang
Pastinya kembali menganyan ilusi mewarnai mimpi
Selagi berpaut kepada impian yang entah terjadi
Menafikan takdir dan ketentuanNya merubahi nasib
Bukanlah ini kebetulan tapi suatu pertarungan
Diantara nafsu dengan keimanan

Ku sangka ku jumpa rupanya bayangan
Telah ku rentasi hutan penuh dosa
Mengapa ku ragu setelah dinyatakan
Kepastian yang belum ku temui
Sekian lamanya telah termateri suatu perjanjian
Jauhnya syurga untuk aku jejaki...

Lagu: Fazli FarEast
Lirik: Ito Lara
Munsyid: Haikal

Tuesday, September 9, 2008

Segalanya Pasti

Malam ditembusi kilatan berapi
Bulan hilang seri di langit yang berduri
Apakah nasib ku nanti
Mengharapkan simpati

Siangku terdampar di gurun yang tercalar
Berbarisan kabilah yang menagihkan nyawa
Apakah nasibku nanti
Ku serahkan kepada Nya

Hilang luruh kasih sayang
Hilang lenyap teman seperjuangan ku
Dan hilanglah sudah tempat ku bergantung
Namun ku percaya sinar pasti ada
Namun ku percaya sinar pasti datang

Peperangan duniawi dapat ku hadapi
Peperangan hakiki amat ku takuti
Apakah nasib ku nanti
Di dunia yang abadi

Hilang semua ku sayangi
Tinggal semua teman seperjuangan ku
Dan aku kan pulang kepada hadrat Mu
Namun ku berharap sinar pasti ada
Namun ku berharap sinar pasti datang...

Lagu : Siso Kopratasa
Munsyid: Azhan Atan

Monday, August 25, 2008

Monday, August 4, 2008

Hiburan Dalam Islam

Isu pembatalan permit konsert-konsert di Johor Bahru yang sibuk digembar-gemburkan media 'hangit' diperkatakan. Gembar-gembur berita dicanang kononnya pihak berkuasalah yang zalim dan artis-artis lah yang teraniaya. Peraturan, batas-batas dilihat sebagai satu yang menyusahkan & bertentangan dengan prinsip 'kebebasan'. Isu hukum berhibur telah berulang kali diperkatakan.

Walaupun terdapat beberapa khilaf, sebagai seorang Islam, secara umumnya kita mengetahui apakah batas-batas asas dalam berhibur. Teringat pulak saya masa Michael Jackson datang ke Malaysia dalam tahun 90-an, ramai anak gadis Melayu yang menangis dan histeria....tu dah kira idolisme tu.....


Memang tak dinafikan fitrah manusia suka pada hiburan, malah pada awal kejadian manusia pun Allah SWT jadikan Hawa sebagai teman kepada Adam sebagai teman untuk berhibur dan bersenang-senang. Di syurga pun Allah SWT letakkan hiburan sebagai salah satu faktor penarik untuk memberi rangsangan kepada manusia. Tapi sementara kita di dunia ni, kita tertakluk pada batas-batas syarak yang perlu dijaga dalam mengisi kehendak naluri kita. Antara batasan-batasan dalam berhibur termasuklah:

  • Tiada unsur maksiat.
  • Tiada mesej-mesej yang dilarang oleh Islam seperti lucah, syirik, melalaikan
  • Tidak berlebih-lebih dari segi waktu kerana hiburan itu sifatnya haruslah sampingan.

Justeru kehadiran nasyid dan peranannya dalam menyampaikan dakwah Islamiah harus kita sambut dengan tangan terbuka. Saya cuba buat simple research untuk ketengahkan beberapa dalil yang boleh membantu dalam mencari status nasyid yang saya kategorikan sebagai satu alternatif hiburan yang sederhana. Terdapat beberapa hadis sohih yang menyatakan hiburan yang sederhana adalah dibenarkan dalam Islam antaranya:

"Dari Aisyah r.a, bahwa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan." (Riwayat Bukhari)

"Dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata: Aisyah pernah mengahwinkan salah seorang kerabatnya dengan Ansar, kemudian Rasulullah s.a.w. datang dan bertanya: Apakah akan kamu hadiahkan seorang gadis itu? Mereka menjawab: Betul! Rasulullah s.a.w. bertanya lagi. Apakah kamu kirim bersamanya orang yang akan menyanyi? Aisyah menjawab: Tidak! Kemudian Rasulllah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya orang-orang Ansar adalah suatu kaum yang merayu. Oleh karena itu alangkah baiknya kalau kamu kirim bersama dia itu seorang yang mengatakan: kami datang, kami datang, selamat datang kami, selamat datang kamul" (Riwayat Ibnu Majah)

"Dan dari Aisyah r.a. sesungguhnya Abubakar pernah masuk kepadanya, sedang di sampingnya ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Idul Adha), sedang Nabi s.a.w. menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka diusirlah dua gadis itu oleh Abu Bakar. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abubakar "Biarkanlah mereka itu hai Abubakar, sebab hari ini adalah hari raya (hari bersenang-senang)"." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam...

Friday, June 20, 2008

Status Halal Hotel-hotel di Malaysia.

Alhamdulillah, beberapa minggu lalu saya menghadiri kursus di Kota Keriangan-Genting Highland. Entah kenapa gemar sangat penganjur mengadakan kursus di GH. Dari pemerhatian setelah beberapa kali ke sana, Genting Highland tak pernah lengang dari dikunjungi oleh ratusan malah ribuan manusia yang tak pernah jemu dengan hiburan. Rata-rata pengunjung adalah terdiri daripada pelancong asing dari China dan Taiwan, ah soh dan ah tai kampung yang teruja dengan pelbagai mesin judi dan tak kurang juga dua tiga kerat Melayu, harap-harapnya tak berjudi lah...
Semasa menikmati hidangan di salah sebuah hotel di sana, terlintas difikiran saya sejauh mana kita mengambil tahu status halal di hotel-hotel di Malaysia. Kita pun sedia maklum masyarakat kita cukup gemar makan di tempat-tempat mewah dan eksklusif, terutamanya dalam bulan Ramadhan, buka puasa secara buffet di hotel memang popular. Apa yang nak saya tekankan disini ialah sebenarnya 80%-90% hotel di Malaysia TIDAK mempunyai status halal JAKIM atau mana-mana badan Islam negeri. Ini bermakna tiada jaminan bahawa semua hidangan yang disajikan adalah halal dan disediakan mengikut garis panduan Islam yang merangkumi bahan mentah yang digunakan (ayam, daging, sos, kicap, cuka (wine?)) dan kaedah penyediaan (campur atau tidak dengan makanan haram).
Semakan melalui portal halal JAKIM mendapati hanya 12 buah hotel di Malaysia yang mendapat persijilan HALAL iaitu:
  1. GRAND DORSETT LABUAN HOTEL
  2. HOTEL ARMADA PETALING JAYA
  3. HOTEL SERI MALAYSIA (IPOH)
  4. HOTEL SERI MALAYSIA (PENANG)
  5. HOTEL PUTRA
  6. MAYOR HOTELS
  7. LEGEND HOTEL KL
  8. MING COURT HOTEL (KL)
  9. RESIDENCE HOTELS & RESORTS SDN BHD
  10. GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM
  11. THE PARAMOUNT HOTEL
  12. TIARA LABUAN HOTEL

Semoga kita semua lebih berhati-hati dan sentiasa berdoa agar dilindungi dari perkara-perkara haram.